Images
  • epl streaming
    Petikan siaran perlawanan EPL pada 2012 (Gambar: Manchester City/YouTube)

Liga Perdana: Langkah dipertingkat basmi akses kandungan secara haram di rantau Asia

SINGAPURA: Pihak-pihak yang mengaut keuntungan dengan menawarkan akses kandungan Liga Perdana England secara haram kini perlu lebih berwaspada terhadap langkah-langkah penguatkuasaan yang ditingkatkan.

Demikian didedahkan pengarah Khidmat Guaman Liga Perdana Kevin Plumb kepada Mediacorp dalam wawancara pada Isnin (21 Jan), sedang badan bola sepak United Kingdom itu membuka pejabat antarabangsanya yang pertama di Singapura.

Menurut Encik Plumb, Liga Perdana sudah lama mempergiat langkah penguatkuasaan ke atas pihak-pihak yang mencabuli hak kandungannya, terutamanya di UK.

Sebagai contoh, Mahkamah Tinggi UK pada Julai lalu mengarahkan penyedia-penyedia khidmat internet utama di negara itu untuk menyekat pelayan (server) yang menghoskan penstriman perlawanan Liga Perdana secara haram Julai lalu.

Encik Plumb menambah bahawa Liga Perdana sedang secara aktif mengambil langkah menguat kuasa hak kandungannya merata dunia dan pejabatnya di Singapura akan membantu usaha tersebut.

Beliau berkata pihaknya “secara aktif” bekerjasama dengan syarikat telko tempatan, Singtel, dalam usaha-usaha penguatkuasaannya.

Singtel pada November lalu mengumumkan bahawa ia memperolehi hak penyiaran kandungan Liga Perdana selama tiga musim dari Ogos ini hingga Mei 2022, dan merupakan penyiar rasmi liga tersebut di Singapura buat 12 tahun beturut-turut.

Dengan penubuhan pejabat yang baru di Singapura, Encik Plumb berkata kini lebih mudah untuk mendapatkan “maklumat risikan tempatan” berhubung kegiatan penstriman haram dan wadah-wadah yang terlibat. Maklumat itu bukan sahaja merangkumi Singapura, malah pasaran lain seperti Malaysia dan Hong Kong.

“Ekosistem cetak rompak berbeza-beza di setiap kawasan di dunia,” kata beliau.

Selain langkah-langkah penguatkuasaan, Encik Plumb berkata pihaknya akan turut mempergiat usaha mendidik pengguna tentang faedah menonton perlawanan Liga Perdana menerusi wadah-wadah sah.

Beliau juga menarik perhatian bahawa individu yang menonton kandungan cetak rompak di Singapura biasanya terdiri daripada “kelas pertengahan, mewah, pemuda”. Ini bermakna mereka sebenarnya mampu untuk menonton perlawanan-perlawanan tersebut.

Ditanya jika harga langganan untuk menonton perlawanan mungkin mendorong pengguna untuk menonton secara haram, Encik Plumb menekankan bahawa Liga Perdana tidak menetapkan harga bagi setiap pasaran dan hanya pihak penyiar yang boleh memberi “kata putus” berhubung harga.

“Tentunya ia sesuatu yang kami bincangkan dengan pihak penyiar ... namun terpulang kepada mereka (untuk menetapkan harga),” kata Encik Plumb.

Namun beliau menegaskan harga yang tinggi tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk menonton kandungan secara haram.

- CNA/TQ/tq

Top