Images
  • chelsea gol
    Eden Hazard jaringkan gol kemenangan Chelsea 2-1 ke atas Watford (Gambar: Reuters)

Liga Perdana: Hazard hadiahkan Chelsea kemenangan 2-1 ke atas Watford

WATFORD: Eden Hazard menjangkaui jaringan 100 gol bagi Chelsea selepas bintang midfield Belgium itu menjaringkan dua gol untuk memberikan Chelsea kemenangan 2-1 ke atas Watford pada Rabu (26 Dis), mengekalkan the Blues pada tempat keempat dalam Liga Perdana England.

Selepas tewas di padang sendiri di tangan Leicester City pada Sabtu lalu, Chelsea bangkit untuk mencatat kemenangan di Vicarage Road, di mana mereka menguasai permainan sepanjang perlawanan itu. Namun Watford juga mempunyai peluang-peluang mereka sendiri.

Dengan kemenangan itu, Chelsea kekal 11 mata di belakang Liverpool yang kini di tangga teratas liga, manakala Watford menduduki tempat kesembilan dengan 27 mata.

Perlawanan pada Rabu bagaimanapun dicemari oleh kecederaan yang dialami pemain pertahanan Watford, Christian Kabasele yang terlanggar tiang gol pada awal perlawanan.

Kabasele yang mengalami kecederaan pada bahagian rusuk cuba meneruskan permainan namun akhirnya diusung keluar sambil diberikan bantuan pernafasan.

Selepas menjaringkan gol beliau yang ke-100 bagi Chelsea, Hazard berkata cita-citanya kini adalah untuk menjadi pemain legenda Chelsea.

"Gol ke-100 dan 101 bersama kelab hebat ini merupakan sesuatu yang tidak akan saya lupakan," beliau memberitahu Sky Sports.

"Saya mahu menjaringkan lebih banyak gol bagi kelab ini dan kemudian cuba menjadi legenda (seperti Frank)Lampard, (John) Terry, (Didier) Drogba."

Namun Hazard pada awalnya kurang menyerlah dan gagal memanfaatkan peluang gol dari jarak dekat pada minit ke-32.

Pemain Belgium itu bagaimanapun menebus kesilapannya dengan menjaringkan gol pertama dalam masa tambahan babak pertama perlawanan.

Watford menyamakan kedudukan sejurus selepas itu hasil jaringan Roberto Pereyra.

Hazard kemudian menjaringkan gol kedua Chelsea menerusi tendangan penalti.


Keputusan perlawanan lain:
Liverpool 4-0 Newcastle
Leicester 2-1 Man City
Man Utd 3-1 Huddersfield

- Agensi berita/TQ/tq

Top