Images
  • var
    Sistem VAR digunakan dalam satu perlawanan Copa Libertadores pada September 2018 (Gambar fail: Reuters)

Liga Juara-Juara akan guna VAR musim ini bermula peringkat kalah mati

DUBLIN: Persatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) akan mempercepatkan perlaksanaan penggunaan Sistem Video Bantuan Pengadil (VAR) bagi peringkat kalah mati Liga Juara-Juara musim ini, kata presidennya Aleksander Ceferin pada Isnin (3 Dis)

Badan pentadbir bola sepak Eropah itu memilih untuk tidak menggunakan VAR musim ini, meskipun teknologi tersebut sudah digunakan oleh liga-liga utama Eropah di Sepanyol, Itali dan Jerman, serta semasa di Piala Dunia Rusia awal tahun ini.

Namun Encik Ceferin menarik perhatian baru-baru ini bahawa satu laporan yang sedang disiapkan ketua pengadil UEFA mungkin membenarkan Jawatankuasa Eksekutif badan itu untuk merubah pendiriannya. Pihaknya juga bersetuju pada Isnin untuk melancarkan penggunaan teknologi itu dalam pusingan akhir Liga Eropah musim ini dan pusingan akhir perlawanan baru UEFA Liga Negara-Negara, Jun hadapan.

"Secara terus terang saya beritahu anda, kami berbincang dengan rakan-rakan sekerja kami jika kami dapat laksanakannya lebih awal, mengapa perlu ditangguhkan kerana kita tidak mampu buat kesliapan," kata Encik Ceferin di sebuah sidang media di akhir perbincangan dua hari Jawatankuasa Eksekutif itu di Dublin.

Ketua pengadil UEFA, Roberto Rosetti, berkata UEFA akan mengikut protokol seperti persatuan-persatuan lain namun akan menetapkan secara jelas dalam garis pandunya bilakah campur tangan sistem itu akan dibenarkan.

"Kami bercakap tentang keseragaman, secara konsisten. Komunikasi adalah satu lagi bahagian penting projek ini. Kami perlu jelas dan memaklumkan secara terbaik para peminat, pemain dan jurulatih," kata Rosetti.

- Reuters/TQ/tq

Top