Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Liga Bola Sepak M'sia batalkan saingan piala FA kerana langkah sekatan

Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) membuat keputusan untuk membatalkan saingan Piala FA manakala sepak mula Liga Malaysia (Liga-M) 2021 ditunda ke 5 Mac susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara, kecuali Sarawak hingga 4 Feb ini.

Anggaran Waktu Membaca:
Liga Bola Sepak M'sia batalkan saingan piala FA kerana langkah sekatan

(Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 26 Jan 2021 10:08PM Dikemas Kini : 26 Jan 2021 10:11PM

KUALA LUMPUR: Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) membuat keputusan untuk membatalkan saingan Piala FA manakala sepak mula Liga Malaysia (Liga-M) 2021 ditunda ke 5 Mac susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara, kecuali Sarawak hingga 4 Feb ini.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL Ab Ghani Hassan berkata keputusan untuk mengeluarkan saingan Piala FA daripada kalendar musim ini perlu dilaksanakan bagi memastikan keseimbangan jadual dan mengelak pasukan terbeban dengan jadual padat, sekali gus memberi kesan kepada mutu Liga-M.

“MFL juga membuat keputusan kalendar Liga-M musim 2021 menyaksikan Liga Super, Liga Premier, Piala Malaysia dan Challenge Cup diteruskan,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa (26 Jan).

Pada tahun lalu, MFL terpaksa membatalkan kempen Piala FA dan Piala Malaysia berikutan pandemik COVID-19, manakala saingan Liga Super dan Liga Premier terpaksa dipendekkan.

Beliau berkata MFL akan menyediakan beberapa mekanisme seperti Prosedur Operasi Standard (SOP) latihan yang lebih ketat dan SOP kem latihan berpusat secara kuarantin bagi memastikan saingan musim ini berjalan lebih berkesan dan selamat selain menghindari segala prospek pandemik COVID-19.

Orang ramai mengetahui status pandemik COVID-19 berada di paras cukup membimbangkan selain kebergantungan status PKP memainkan faktor tetapi MFL mahu bersedia dengan lebih awal, kata beliau.

“Selain permintaan rakan kongsi yang mahukan persiapan sekurang-kurangnya tiga minggu sebelum sepak mula, MFL juga mengambil kira faktor pusingan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, Liga Juara-Juara Asia (ACL) dan Piala AFC yang menyebabkan keputusan pindaan tarikh Liga-M dicapai secara bersama.

MFL telah bekerjasama dengan Majlis Sukan Negara berhubung penyediaan SOP latihan dan kita akan sekali lagi membentangkan cadangan ini kepada Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan bagi memastikan Liga-M musim ini berjalan bebas daripada sebarang gelaja COVID-19,” katanya.

Mengikut perancangan awal, Liga-M sepatutnya membuka tirai dengan perlawanan Piala Sumbangsih merebut Piala Sultan Haji Ahmad Shah, menyaksikan pertembungan juara dan naib juara Liga Super musim lalu, Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kedah Darul Aman FC di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, pada 26 Feb ini.

Menurut Encik Ab Ghani, MFL juga mempunyai beberapa lagi mekanisme untuk memulakan kempen Liga-M 2021 jika PKP dilanjutkan selepas 4 Feb.

Sumber : Bernama/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan