Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Liga Belia Woodlands dilancar; wadah baru memperkasa golongan remaja

Satu program pengayaan belia dengan kelainannya yang tersendiri dilancarkan baru-baru ini.

Anggaran Waktu Membaca:
Liga Belia Woodlands dilancar; wadah baru memperkasa golongan remaja

(Gambar: Amrin Amin/Facebook)

SINGAPURA: Satu program pengayaan belia dengan kelainannya yang tersendiri dilancarkan baru-baru ini.

Liga Bola Sepak Woodlands yang menampilkan sebanyak 25 pasukan dengan penyertaan seramai 250 belia bermatlamat untuk membantu golongan belia meraih pencapaian yang cemerlang dalam hidup mereka.

Liga itu dilancarkan oleh Setiausaha Parlimen Kanan Kesihatan merangkap Ehwal Dalam Negeri Amrin Amin pada Ahad lalu (24 Feb).

Kesemua 250 pemain itu dibahagikan kepada 25 pasukan dalam tiga kategori - iaitu belia lelaki bawah usia 15 tahun, belia lelaki bawah usia 18 tahun dan belia perempuan bawah usia 17 tahun.

Pasukan-pasukan akan dinilai berdasarkan prestasi mereka dalam setiap perlawanan, kehadirian di sesi latihan dan juga pelibatan mereka dalam program-program pengayaan yang turut disediakan buat mereka.

Antara program yang disediakan Liga Bola Sepak Belia Woodlands itu termasuk latihan jasmani, bengkel-bengkel diet, sesi perbincangan tentang antibuli dan antidadah, bengkel celik kewangan serta ketrampilan diri (grooming).

Ini diharap dapat menjadi wadah berkesan untuk mendampingi golongan belia dan memperkasakan mereka, agar para anggotanya bukan sahaja bakal menjadi pemain bola sepak yang handal, malah individu-individu yang bermotivasi tinggi dan menyedari tentang peluang yang terbentang luas untuk mereka.

Menerusi laman Facebooknya, Encik Amrin, berkata perancangan untuk menubuhkan liga itu mengambil masa selama setahun.

"Saya mendapat inspirasi daripada ramai jurulatih bola sepak yang meluangkan masa dan melaburkan wang untuk melatih para belia. Saya mahu menyokong mereka. Jadi kami tubuhkan liga ini," kata Encik Amrin, yang juga penasihat GRC berkenaan.

Menerusi kegiatan-kegiatan tersebut, Liga Belia Woodlands juga mahu mempertingkat mobiliti sosial dan interaksi dalam kalangan belia tanpa mengira latar belakang.

Maka, liga ini menjadi satu ruang yang dikongsi bersama oleh belia dari latar belakang keluarga yang berbeza-beza untuk bermain dan membesar bersama.

Encik Amrin menambah, wadah itu juga dapat memberi peluang kepada para belia untuk menyumbang semula apabila mereka ditempatkan ke dalam program khidmat masyarakat.

Inisiatif itu melibatkan pelbagai pihak termasuk Kelab Sukan Masyarakat Woodlands, Pertubuhan Kebajikan Sukarela PALS, CNB dan ActiveSG.

"Kami berharap agar liga ini dapat mewujudkan para pemain hebat. Namun, yang lebih penting adalah individu-individu yang turut meraih kejayaan dalam hidup mereka," kata Encik Amrin.

Sumber : BERITA Mediacorp/NK/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan