Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Legenda bola sepak Argentina Diego Maradona meninggal dunia akibat serangan jantung

Legenda bola sepak Argentina Diego Maradona, yang terkenal sebagai antara pemain paling hebat dalam sejarah sukan tersebut, meninggal dunia akibat serangan jantung pada Rabu (25 Nov), kata peguamnya.

Anggaran Waktu Membaca:
Legenda bola sepak Argentina Diego Maradona meninggal dunia akibat serangan jantung

Diego Maradona. (Gambar: AFP)

Diterbitkan : 26 Nov 2020 07:27AM Dikemas Kini : 26 Nov 2020 07:32AM

BUENOS AIRES: Legenda bola sepak Argentina Diego Maradona, yang terkenal sebagai antara pemain paling hebat dalam sejarah sukan tersebut, meninggal dunia akibat serangan jantung pada Rabu (25 Nov), kata peguamnya.

Maradona, 60 tahun, baru-baru ini bertarung dengan isu-isu kesihatan dan menjalani pembedahan kecemasan bagi hematoma subdura beberapa minggu lalu.

Beliau mengalami serangan jantung di rumahnya yang terletak di pinggir Buenos Aires pada Rabu, menurut laporan media Argentina dan kenalan bekas pemain itu.

Presiden Argentina Alberto Fernandez mengisytiharkan tempoh berkabung selama tiga hari di seluruh negara menyusuli berita pemergian Maradona.

Legenda bola sepak Brazil Pele turut bersedih atas pemergian ikon bola sepak Argentina itu.

“Tentu sekali, kita akan dapat sama-sama menendang bola pada satu hari nanti," katanya dalam satu kenyataan ringkas yang disampaikan kepada Reuters melalui seorang wakil.

Kelab bola sepak Itali, Napoli menyatakan bahawa pemergian bekas pemain midfieldnya itu adalah satu "tamparan hebat" kepada bandar dan kelab tersebut.

"Kami meratapi pemergiannya," kata jurucakap kelab Nicola Lombardo. "Kami berasa seperti petinju yang ditumbangkan. Kami sangat terkejut."

Maradona menyarung jersi Napoli antara 1984 hingga 1991 di mana beliau turut memainkan peranan besar dalam membantu pasukan itu menjuarai Liga Serie A.

Maradona beramah mesra dengan para peminat semasa sesi latihan pertama sebagai jurulatih Dorados di Culiacan, Mexico pada 10 Sept 2018. (Gambar: Reuters/Henry Romero)

DARI SETINGGAN HINGGA KE STATUS IKON DUNIA

Dari kehidupan setinggan di Buenos Aires, Maradona bangkit sehingga dijulang sebagai pemain ikonik Argentina setelah memimpin pasukan Argentina sebagai kapten untuk menjulang Piala Dunia.

Kisah kehidupannya melawan kemiskinan di Argentina yang fanatik dengan bola sepak, mengukuhkan lagi statusnya sebagai ikon negara itu setanding dengan tokoh-tokoh Argentina seperti Che Guevara dan Evita Peron.

Sebagai pemain bola sepak yang merupakan antara paling berbakat dalam sejarah, Maradona mencapai kemuncak kejayaannya apabila beliau menjadi kapten pasukan Argentina yang menjulang Piala Dunia pada 1986.

Namun semasa Piala Dunia 1994, beliau digugurkan daripada pasukan negara itu setelah didapati menyalahgunakan bahan terlarang.

Penyalahgunaan dadah dan minuman keras serta masalah berat badan, menyingkatkan kerjayanya yang cemerlang dan merubah rupanya sehingga kelihatan sembap.

Beliau hampir maut akibat kegagalan jantung pada 2000 kerana mengambil kokain.

Diego Maradona sebagai jurulatih pasukan kebangsaan Argentina (Gambar: Henri Szwarc/Abaca/Sipa USA menerusi AP Images)

Diego Maradona sebagai jurulatih pasukan kebangsaan Argentina (Gambar: Henri Szwarc/Abaca/Sipa USA menerusi AP Images)

Namun beliau seakan-akan mencipta semula dirinya pada 2008 apabila beliau kembali beraksi sebagai jurulatih pasukan kebangsaan Argentina.

Maradona berjaya meyakinkan para pengurus yang lain melalui karismanya dan beliau juga berhasil mempertingkatkan prestasi pasukan kebangsaan meskipun kurang berpengalaman sebagai jurulatih.

Ibarat ahli silap mata yang tangkas dan berpandangan jauh, Maradona dianggap oleh sesetengah pengamat sebagai pemain bola sepak yang paling unggul dalam sejarah, bahkan dikatakan mengatasi Pele dari Brazil.

Beliau memainkan peranan besar dalam kejayaan Argentina di Piala Dunia 1986 di Mexico. Beliau menjaringkan dua gol hebat dalam perlawanan menentang England di peringkat suku akhir.

Gol pertamanya mencetuskan kontroversi kerana dijaringkan menggunakan tangannya.

Gol kedua pula, beliau menggelecek dengan begitu hebat sehinggakan jaringannya itu sering disebut-sebut sebagai 'gol terbaik abad ini' atau 'goal of the century'.

"Sebahagiannya adalah sentuhan 'tangan Tuhan' dan sebahagiannya dengan kehebatan Maradona," ulas Maradona tentang gol pertamanya dalam kemenangan 2-1 itu.  

Sumber : Reuters/ZM/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan