Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Lebih ramai orang kurang upaya bersukan, lebih banyak kemajuan boleh dikecapi, kata Sim Ann

Lebih ramai orang kurang upaya (PWD) mengambil bahagian dalam sukan, sedang Pemerintah menimbangkan bagaimana sebuah pelan induk berkaitan berupaya mencapai lebih banyak kemajuan, menurut Menteri Negara Kanan Kebudayaan, Masyarakat dan Belia Sim Ann kepada Parlimen pada Selasa (5 Nov).

Anggaran Waktu Membaca:
Lebih ramai orang kurang upaya bersukan, lebih banyak kemajuan boleh dikecapi, kata Sim Ann

(Gambar: Facebook/SDSC)

Diterbitkan : 05 Nov 2019 04:29PM Dikemas Kini : 05 Nov 2019 04:31PM

SINGAPURA: Lebih ramai orang kurang upaya (PWD) mengambil bahagian dalam sukan, sedang Pemerintah menimbangkan bagaimana sebuah pelan induk berkaitan berupaya mencapai lebih banyak kemajuan, menurut Menteri Negara Kanan Kebudayaan, Masyarakat dan Belia Sim Ann kepada Parlimen pada Selasa (5 Nov).

Menurut Tinjauan Penyertaan Sukan Kebangsaan oleh Sport Singapore (Sport SG), lebih separuh atau 51 peratus daripada PWD mengambil bahagian dalam sukan pada 2018, satu peningkatan berbanding 28 peratus pada 2015.

"Kami mengalu-alukan peningkatan pada penyertaan sukan dalam kalangan orang kurang upaya," kata Cik Sim.

Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan Anggota Parlimen Dilantik dan atlit kurang upaya Yip Pin Xiu, yang bertanya tentang perkembangan terkini Pelan Induk Sukan Golongan Kurang Upaya (DSMP) yang dilancarkan pada Mei 2016.

PENYERTAAN MENINGKAT SEJAK 3 TAHUN LALU

DSMP bertujuan untuk membina keupayaan Singapura dalam sukan untuk golongan kurang upaya dan meningkatkan profil para atlit Team Singapore.

Menurut Cik Sim, SportSG sedang bekerjasama dengan pihak-pihak berkepentingan sejak 2016 untuk melaksanakan DSMP, menubuhkan empat Pusat Kepakaran, membuka tujuh gim yang inklusif dan memperkenalkan pelbagai program sukan bagi golongan kurang upaya.

Salah satu contoh ialah Pesta Sukan Inklusif (ISF), yang menurut Cik Sim dianjurkan selama tiga tahun berturut-turut dan merupakan "wadah penting" bagi PWD untuk mencuba sukan dan peluang untuk orang ramai mempelajari tentang sukan bagi golongan kurang upaya.

"Secara keseluruhannya, ISF dan acara-acara pendampingan lain telah mendekati lebih 11,000 peserta kurang upaya dan hampir 90,000 yang lain dalam tempoh tiga tahun yang lalu," katanya.

KERJASAMA MELUAS BANGUNKAN BAKAT

Selain penyertaan, Cik Sim berkata SportSG turut bekerja rapat dengan pihak-pihak berkepentingan seperti Kementerian Pendidikan (MOE) dan Majlis Sukan Kurang Upaya Singapura (SDSC) untuk membangunkan bakat sukan kurang upaya.

Sebagai contoh, SportSG menyediakan SDSC dengan sumber kewangan dan kemudahan untuk menyokong latihan atlit dalam pelbagai sukan. Beliau menambah 10 daripada kohort terbaru seramai 72 penerima biasiswa spexScholars adalah atlit kurang upaya.

"Para atlit kurang upaya Team Singapore telah menerima pembiayaan dana bagi persiapan mereka untuk Sukan Para ASEAN pada Januari depan," menurut Cik Sim.

Cik Sim berkata SportSG juga bekerjasama dengan Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa untuk mengembangkan jurulatih sukan kurang upaya di Singapura. Beliau menarik perhatian bahawa 500 jurulatih, 300 kakitangan SportSG dan 1,600 sukarelawan sudah menamatkan kursus-kursus relevan untuk menyokong program sukan kurang upaya.

Meskipun DSMP mencatat kemajuan baik, Cik Sim berharap pihak kementerian akan terus meneroka cara-cara bagaimana untuk meningkatkan kesannya, sambil menambah bahawa SportSG pada Ogos menerbitkan semakan kemajuan dalam laporan jangka pertengahan Visi 2030.

"Kami mengalu-alukan idea dan saranan daripada para Anggota Parlimen dan pihak-pihak lain dalam masyarakat sukan dan golongan berkeperluan khas untuk memperbaiki pelaksanaan DSMP."

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan