Images
  • messi argentina
    Kapten pasukan Argentina, Lionel Messi, setelah menjaringkan gol pertama. (Gambar: Reuters/Edgard Garrido)

Larangan Messi sudah tamat; boleh main perlawanan menentang Ecuador

BUENOS AIRES: Lionel Messi boleh bermain dalam perlawanan pembukaan peringkat kelayakan Piala Dunia bersama Argentina bulan depan kerana larangan yang dikenakan ke atasnya semasa Copa America tahun lalu sudah tamat tempohnya kata presiden Persatuan Bola Sepak Argentina (AFA) pada Khamis (10 Sep).

Messi dilarang untuk satu perlawanan selepas dibuang padang dalam perlawanan bagi tempat ketiga Copa America menentang Chile dan kerana mengajukan tuduhan "rasuah" terhadap para ketua bola sepak Amerika Selatan.

Messi dijangkakan menjalani hukuman larangan tersebut sekali gus menyebabkan beliau terlepas peluang bermain dalam perlawanan kelayakan Argentina menentang Ecuador yang dijadualkan berlangsung di Buenos Aires pada 8 Oktober.

Namun, Claudio Tapia berkata beliau telah berunding dengan Presiden Persatuan Bola Sepak Amerika Selatan (CONMEBOL), Alejandro Dominguez, yang "mengesahkan syarat larangan itu telah tamat dan beliau (Messi) dapat bermain," menurut AFA di Twitter.

Penyerang Barcelona itu dilayangkan kad merah selepas bertembung dengan Gary Medel dan beliau kemudian mendakwa keputusan kejohanan itu sudah ditetapkan untuk memihak kepada pasukan tuan rumah Brazil, yang mengalahkan Argentina dalam separuh akhir penuh kontroversi dalam laluan untuk merebut gelaran juara.

Argentina, yang kali terakhir menjulang Piala Dunia pada 1986, memulakan kempen kelayakan mereka dengan tandukan berganda di padang sendiri menentang Ecuador dan di padang lawan menentang Bolivia.

- Reuters/TQ/tq

Top