Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Lapangan terbang Louisville tukar nama sempena Muhammad Ali

Bandar Louisville di Kentucky, Amerika Syarikat dijadual menamakan semula lapangan terbangnya sempena wira dan legenda tinju dunia Muhammad Ali, yang meninggal dunia pada 2016.

Anggaran Waktu Membaca:
Lapangan terbang Louisville tukar nama sempena Muhammad Ali

Allahyarham Muhammad Ali semasa majlis Anugerah Kristal di Forum Ekonomi Sedunia di Davos, Switzerland pada 28 Januari 2006. (Gambar: Andreas Meier/Reuters)

Diterbitkan : 17 Jan 2019 05:28PM Dikemas Kini : 17 Jan 2019 05:35PM

KENTUCKY: Bandar Louisville di Kentucky, Amerika Syarikat dijadual menamakan semula lapangan terbangnya sempena wira dan legenda tinju dunia Muhammad Ali, yang meninggal dunia pada 2016.

Pengumuman itu dibuat sehari sebelum ulang tahun Allahyarham Ali ke-77.

Para pegawai mengumumkan pada Rabu (16 Jan) bahawa lapangan terbang itu akan dikenali dengan nama baru Lapangan Terbang Antarabangsa Louisville Muhammad Ali.

Dalam kenyataan yang disiarkan di media sosial, lapangan terbang itu menyatakan lembaga pengarahnya "mengundi dengan penuh makna" untuk mengiktiraf legasi Allahyarham sebagai anak kelahiran Louisville dengan menamakan semula lapangan terbang itu sebagai menghormati beliau. Bagaimanapun, pengenalan tiga huruf lapangan terbang itu, SDF, tidak akan ditukar.

Datuk Bandar Louisville Greg Fischer menulis di akaun Twitter beliau: "Muhammad Ali adalah milik dunia, tetapi beliau cuma ada satu kampung halaman. Keputusan hari ini untuk menukar nama @flylouisville kapada Lapangan Terbang Antarabangsa Louisville Muhammad Ali adalah sebahagian besar usaha meluas untuk meraikan hubungan yang mendalam ini."

Allahyarham Ali dilahirkan di Louisville, Kentucky, pada 17 Januari 1942, sebagai Cassius Marcellus Clay Jr. Beliau menukar namanya selepas memeluk Islam.

Juara tinju itu meninggal dunia pada 3 Jun 2016 pada usia 74 tahun, selepas bertahun-tahun menghidap penyakit Parkinson yang menjejas percakapan dan pergerakannya.

Mantan presiden Amerika Syarikat Barack Obama menyifatkan Allahyarham sebagai "seorang yang berjuang untuk kita" dan menyamakannya dengan ikon-ikon hak sivil seperti Martin Luther King Jr dan Nelson Mandela.

Sumber : CNA/TQ/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan