Images
  • frank lampard
    Gambar fail pengurus Chelsea, Frank Lampard (Gambar: Reuters)

Lampard letak kepercayaan pada pemain muda Chelsea

LONDON: Frank Lampard berkata beliau tidak akan teragak-agak untuk memberikan pemain muda Chelsea peluang untuk menempa nama di Stamford Bridge pada musim ini.

Pemegang rekod jaringan gol paling banyak bagi Chelsea itu memulakan kerjayanya sebagai pengurus kelab tersebut pada Ahad dengan menentang Manchester United dalam perlawanan Liga Perdana England. Tidak mengejutkan jika pemain muda seperti Tammy Abraham, Fikayo Tomori dan Mason Mount akan membuat penampilan dalam pasukannya.

Meskipun larangan jual beli pemain bagi Chelsea dan pemindahan Eden Hazard ke Real Madrid menyukarkan tugas Lampard, bekas pemain tengah itu percaya ia satu peluang bagi kelabnya mengasah bakat muda.

Pemain tengah Mount, 20 tahun, penyerang Abraham, 21, dan pemain pertahanan Tomori, juga 21 tahun, dipinjamkan kepada kelab Derby County musim lalu di mana Lampard mulakan kerjaya sebagai pengurus kelab.

Sekiranya Chelsea diberi kebenaran mengambil pemain baru, ada kemungkinan mereka akan dipinjamkan lagi. Namun sebaliknya mereka kini sebahagian penting rancangan Lampard.

"Tahun lalu adalah pengalaman baik bekerjasama dengan mereka kerana mereka dahagakan (kejayaan), mereka ingin belajar, mereka bertanya soalan semasa latihan dan saya sukainya," Lambard berkongsi dengan BBC Radio 5 Live.

"Saya ingin kekal berdaya saing dan saya mahu kami menang, jadi ia bukan bermakna tumpuan utama adalah jumlah pemain muda yang akan menyertai pasukan.

"Namun jika mereka membuktikan diri semasa latihan saya tidak teragak-agak untuk sertakan mereka."

Meskipun jangkaan bagi Chelsea rendah sedikit tahun ini, Lampard berkata sasarannya adalah untuk terus memburu kejuaraan.

Namun beliau akur menamatkan musim di empat tangga teratas boleh dikira sebagai satu kejayaan buatnya bagi musim pertamanya sebagai pemimpin pasukan.

"Saya tidak boleh mulakan musim di Chelsea dengan berkata saya tidak mahu menang liga. Kita perlu ada pemikiran yang betul. Kita perlu ada mentaliti yang betul dan lakukan yang terbaik untuk berada di tangga teratas." 

- Reuters/TQ/tq

Top