Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Lagi 8 pesilat S'pura masuk pertarungan akhir, namun Shakir Juanda terkandas

Lagi lapan pesilat Singapura berjaya mara ke peringkat akhir Kejohanan Pencak Silat Sedunia ke-18 esok (16 Dis). 

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Lagi lapan pesilat Singapura berjaya mara ke peringkat akhir Kejohanan Pencak Silat Sedunia ke-18 esok (16 Dis).

Dengan pingat 3 emas sudahpun diraih kelmarin, ini bermakna para pesilat negara besar kemungkinan memecah rekod 4 emas, 4 perak dan 9 gangsa yang dicatat di kejohanan yang sama, 14 tahun lalu. 

SHEIK FARHAN DI AMBANG SATU REKOD

Antara para pesilat Singapura yang menyerlah di gelanggang OCBC Arena hari ini (15 Dis) ialah Sheik Farhan Sheik Alauddin. Beliau mendominasi pertarungan Kelas J Lelaki semasa menentang Djibrill Audou dari Britain dan berjaya mencatat kemenangan 5-0. 

Gambar: PERSISI

Dengan keputusan cemerlang itu, johan tahun 2014 dan 2016 ini mara ke pusingan akhir esok (16 Dis), sekali gus berpotensi mencipta sejarah sebagai pesilat pertama untuk bergelar juara dunia tiga kali berturut-turut. 

"Saya tidak terfikir tentang rekod itu kerana apa-apa pertandingan pun saya akan memburu emas. Jadi fokus saya untuk mendapatkan emas dan yang lain seperti rekod itu akan menyusul dengan sendirinya," kata Sheik Farhan Sheik Alauddin. 

NURUL SUHAILA SELANGKAH LAGI UNTUK JADI JUARA DUNIA

Nurul Suhaila Mohd Saiful pula berjaya menundukkan 'musuh ketatnya' dari Indonesia, Selly Adriani dalam pertarungan Kelas D Wanita, dengan keputusan 4-1, untuk melangkah ke pusingan akhir.

Selepas tiga kali mencuba, esok, pesilat 23 tahun ini mungkin berpeluang bergelar juara dunia buat pertama kalinya jika tuah menyebelahinya. 

Para pesilat muda Singapura lainnya juga tidak kurang hebatnya meski pertama kali menyertai kejohanan dunia ini. 

Antaranya, Muhammad Hazim Mohd Yusli, 16 tahun yang mara ke pusingan akhir selepas diisyhtiharkan pemenang oleh wasit yang menghentikan pertarungan kerana lawannya tidak lagi berdaya untuk bersaing. 

Nur Syaza Insyirah Md Roslan pula mengalahkan Nirmala Octaviani 3-2, lantas akan memasuki pertarungan merebut pingat emas Kelas B Wanita. 

SHAKIR JUANDA DISEKAT KOMANG HARIK

Bagaimanapun, bekas juara dunia, Muhammad Shakir Juanda terkandas di tangan pesilat handalan Indonesia yang juga merupakan pemenang pingat emas Sukan Asia, Komang Harik Adi Putra, dalam pertarungan Kelas E Lelaki. 

"Shakir dan jurulatih cuba untuk membuat perancangan untuk mendapatkan mata tetapi ketika pertarungan berlangsung, Shakir rasa agak sukar untuk meraih mata kerana jarak 'tembaknya' agak bagus dia jaga," kata Shakir Juanda kepada BERITAmediacorp. 

Musim silat pendekar 30 tahun ini mencabar dengan antara cabarannya terpaksa mengurangkan 20 kilogram untuk beralih kelas. Namun, beliau menyatakan belum berputus asa dan tetap akan berlatih demi memperbaiki diri.

"Insya Allah tahun depan, saya akan duduk dengan jurulatih dan pihak jawatankuasa untuk merancang langkah seterusnya yang akan kita hadapi," menurut Shakir lagi.

Kejohanan Pencak Silat Dunia itu akan menutup tirainya esok (16 Dis). Jika Singapura mengutip 1 pingat emas, ini akan menyamai prestasinya 14 tahun lalu.

Jika Singapura mengaut 2 emas atau lebih, ia akan menjadi rekod prestasi terbaik bagi para pesilat negara dalam sejarah kejohanan dunia itu.   

Sumber : BERITA Mediacorp/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan