Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Lagi 3 pemain bola sepak S'pura langgar 'curfew' semasa Sukan SEA, dedah FAS

Tiga lagi pemain bola sepak dari skuad Sukan SEA Singapura didapati melanggar perintah berkurung semasa pertandingan di Filipina, dedah Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) pada Isnin (9 Dis).

Anggaran Waktu Membaca:
Lagi 3 pemain bola sepak S'pura langgar 'curfew' semasa Sukan SEA, dedah FAS

(Gambar: Instagram/FAS)

Diterbitkan : 09 Dec 2019 11:32PM Dikemas Kini : 09 Dec 2019 11:41PM

SINGAPURA: Tiga lagi pemain bola sepak dari skuad Sukan SEA Singapura didapati melanggar perintah berkurung semasa pertandingan di Filipina, dedah Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) pada Isnin (9 Dis).

Ini bermakna jumlah pemain bola sepak yang didapati melanggar perintah itu di Filipina adalah sembilan orang, daripada skuad seramai 20 orang yang dihantar ke Sukan SEA.

"Shah Shahiran, Hami Syahin dan Saifullah Akbar akan dikenakan langkah disiplin bersama enam pemain lain," menurut FAS, sambil menambah kesalahan mereka ditemui selepas "siasatan lanjut".

Pihaknya menambah: "FAS ingin menegaskan bahawa kelakuan sedemikian oleh para pemain pasukan kebangsaan tidak boleh diterima langsung dan mana-mana pemain yang didapati bersalah atas kesalahan sebegitu akan dikenakan tindakan tegas."

Pengumuman ini dibuat seminggu selepas FAS mendedahkan enam pemain lain - Tajeli Salamat, Joshua Pereira, Zulqarnaen Suzliman, Zharfan Rohaizad, Kenji Rusydi dan Lionel Tan - akan dikenakan "hukuman tegas" kerana melanggar perintah berkurung.

"Tindakan mereka melanggar kod tatalaku yang semua pemain kebangsaan harus patuhi dan oleh itu, mereka akan dikenakan tindakan oleh FAS," menurut badan bola sepak negara itu.

Ketua jurulatih, Fandi Ahmad juga menyuarakan kekecewaannya terhadap para pemain tersebut, yang menyifatkan kejadian itu sebagai "kekecewaan yang tidak perlu buat pasukan itu".

CUBA SALAHKAN PEMAIN ATAS PRESTASI BURUK?

Reaksi FAS terhadap enam pemain yang melanggar perintah berkurung itu dikritik secara online, dengan beberapa komen mengatakan bahawa persatuan itu cuba mempersalahkan keenam-enam pemain itu atas prestasi lemahnya di Sukan SEA.

DJ dan personaliti media sosial, Jade Rasif juga menyuarakan pendapatnya, dengan mengatakan bahawa beliau "benar-benar terganggu" dengan "tindakan menamakan dan menyalahkan" para pemain yang melanggar perintah berkurung itu.

Dalam catatannya di Facebook pada Sabtu, Cik Rasif menyatakan bahawa ini cara mengalih perhatian orang ramai daripada hakikat bahawa "Matlamat FAS mencapai Piala Dunia 2034 adalah angan-angan kosong tanpa perubahan struktur yang serius".

Awal tahun ini, FAS menetapkan matlamat untuk Singapura mencapai pusingan akhir Piala Dunia pada 2034, namun disambut dengan sangsi oleh masyarakat bola sepak setempat.

Semasa Sukan SEA di Filipina kali ini, Singapura tersingkir daripada pertandingan semasa peringkat kumpulan - menjadikannya Sukan SEA yang ketiga berturut-turut di mana pasukan negara kecundang di peringkat awal.

Sumber : CNA/TODAY/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan