Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Kurang daya penglihatan, tidak halang main papan selaju guna tongkat lakukan 'stunt'

Sekali pandang Ryusei Ouchi persis seperti penggiat papan selaju lainnya - kemeja-T yang besar, seluar melondeh dan topi besbol. Namun dia juga beraksi dengan satu aksesori tambahan: Sebatang tongkat.

Anggaran Waktu Membaca:
Kurang daya penglihatan, tidak halang main papan selaju guna tongkat lakukan 'stunt'

(Gambar: Yuki IWAMURA / AFP)

Diterbitkan : 27 Jul 2021 10:40PM Dikemas Kini : 27 Jul 2021 10:54PM

TOKYO: Sekali pandang Ryusei Ouchi persis seperti penggiat papan selaju lainnya - kemeja-T yang besar, seluar melondeh dan topi besbol. Namun dia juga beraksi dengan satu aksesori tambahan: Sebatang tongkat.

Pemuda 21 tahun itu, yang dikenali dengan gelaran Jido, hilang 95 peratus daya penglihatannya akibat keadaan dipanggil retinitis pigmentosa. Namun dia membuktikan kecacatan itu bukan penghalang untuknya meneruskan minat terhadap papan selaju atau mengikuti acara sukan itu yang pertama kali dipertandingkan di Olimpik Tokyo minggu ini.

Ouchi sering dilihat di taman lungsur di Tokorozawa, utara Tokyo, di mana dia membuat pelbagai aksi dengan penuh rasa yakin.

Tanpa menghiraukan kekurangan dirinya, Ouchi berlatih bermain papan selaju dengan menggunakan tongkat yang menjadi seperti ‘matanya’.

"Kebanyakan orang boleh melihat hadangan hanya dengan sekali pandang," katanya kepada AFP.

"Tapi bagi saya, saya perlu cuba. Saya cuba sentuh, saya cuba melaluinya."

(Gambar: Yuki IWAMURA / AFP)

(Gambar: Yuki IWAMURA / AFP)

Ouchi mula menceburi sukan itu semasa usia remaja, apabila seorang rakan mempelawanya untuk cuba-cuba menggunakan papannya.

"Saya cuba papan selaju buat kali pertama lalu terpaut," katanya.

Tidak mudah untuknya menceburi sukan itu, yang secara amnya menyebabkan ramai penggiat cedera meskipun mempunyai daya penglihatan sempurna.

"Mereka yang boleh melihat juga cedera, tapi saya ini yang tidak dapat melihat juga lebih banyak mengalami kecederaan," kata Ouchi, yang juga melatih sebagai ahli akupunktur.

"Saya tidak tahu jika ada sesuatu objek di hadapan kerana saya tidak dapat melihatnya, dan saya akan berlanggar dengannya, tersandung dan cedera."

"PERASAAN YANG LUAR BIASA"

Banyak latihan Ouchi melibatkannya memeriksa laluan yang bakal dilalui dan membiasakan diri dengan persekitaran sebelum meluncur.

"Saya hanya fikirkan apa yang ingin saya lakukan," katanya.

"Papan selaju saya, sama ada untuk melakukan sesuatu aksi, hanyalah hasil bayangan saya dipraktikkan."

Di sebalik persiapan yang dilakukannya itu, dia tetap mengalami pelbagai kecederaan - daripada lebam hingga patah tulang, tetapi itu semua katanya tidak penting.

"Ketika saya berjaya lakukannya (aksi) yang saya sasarkan, itu adalah satu perasaan yang luar biasa."

Penggiat papan selaju itu mengikuti penampilan pertama sukan tersebut di Olimpik tahun ini dan berkata dia bergembira apabila atlit Jepun, Yuto Horigome, berjaya merangkul pingat emas pertama.

"Saya menganggapnya suatu pencapaian besar," katanya.

Ouchi sendiri menanam cita-cita tersendiri - dia mahu papan luncur bagi atlit kurang daya penglihatan didaftarkan sebagai sukan Paralimpik.

"Ia ibarat satu projek peribadi", katanya.

"Saya rasa ia adalah seperti ilham dari Tuhan, untuk melakukan yang terbaik supaya ia didaftarkan sebagai acara sukan."

Sumber : CNA/TQ/ih
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan