Images
  • tokyo olympic 2020 japan
    Lambang Sukan Olimpik Tokyo 2020 di Jepun (Gambar: REUTERS/Issei Kato)

Kumpulan perubatan beri amaran Olimpik 'sukar' selepas kenaikan kes COVID-19 di Jepun

TOKYO: Menganjurkan acara sukan Olimpik pada musim panas ini "sangat sukar" memandangkan kenaikan kes jangkitan COVID-19 di merata Jepun.

Demikian ditekankan oleh Ketua Persatuan Perubatan Tokyo.

Haruo Ozaki memberi amaran itu sedang jumlah kes harian terus meningkat mencetuskan sekatan-sekatan baru COVID-19 di Tokyo dan di kawasan-kawasan lain di Jepun.

"Jika jangkitan terus menular, hakikatnya sukar untuk menganjurkan Olimpik seperti biasa dengan para atlit yang datang dari pelbagai negara, sekalipun jika acara itu diadakan tanpa penonton," lapor akhbar Sports Hochi memetik Encik Ozaki dalam satu sidang media pada Selasa (13 Apr).

Di laman Facebooknya pada Rabu, Encik Ozaki menyatakan laporan itu mencerminkan keprihatinannya meskipun kejayaan-kejayaan yang dikecap perenang Jepun Rikako Ikee dan pemain golf Hideki Matsuyama baru-baru ini memberi inspirasi.

"Saya tidak dapat menahan airmata menonton prestasi cemerlang Ikee dan Matsuyama. Saya mahu menyaksikan kehandalan mereka di acara sukan Olimpik," kata beliau.

"Namun, dari kedudukan saya sebagai ketua petugas perubatan, saya terpaksa mengatakan bahawa penganjuran acara sukan Olimpik amat sukar."

Encik Ozaki menggesa pihak penganjur supaya "menunjukkan langkah-langkah terperinci bagaimana mereka boleh mencegah penularan jangkitan di dalam dan luar negara".

"Kemudian kami ikhlas mahu mengkajinya jika perancangan itu realistik," tulis beliau.

Komen-komen itu dibuat sedang Tokyo menandakan genap 100 hari sebelum acara sukan Olimpik 2020, yang sudah ditangguhkan sejak tahun lalu akibat pandemik, dirasmikan pada 23 Julai.

Kenaikan kes COVID-19 di Jepun dan di luar negara mencetuskan keprihatinan tentang sama ada acara sukan itu boleh, atau patut diteruskan.

Sekatan-sekatan baru COVID-19 sudah dilaksanakan di beberapa kawasan di Jepun, termasuk Tokyo dan Osaka.

Langkah-langkah itu jauh lebih longgar berbanding sekatan pergerakan yang dilaksanakan di negara-negara lain di dunia. Namun acara larian obor terpaksa dialihkan dari diadakan di jalan-jalan raya awam di Osaka.

Sebaliknya, obor dibawa melalui jalan tertutup di sebuah taman tanpa disaksikan orang awam.

Pihak penganjur Olimpik sudah mengeluarkan beberapa siri panduan virus yang dikatakan akan memastikan acara sukan yang selamat.

Mereka akan melarang para penonton asing, menghadkan pergerakan para atlit dan mewajibkan ujian secara tetap.

Namun vaksinasi tidak diperlukan dan peraturan kuarantin akan dikecualikan bagi para peserta Olimpik.

Tinjauan menunjukkan kebanyakan orang di Jepun mahu acara sukan Olimpik ditangguhkan atau dibatalkan.

Sokongan kepada penganjuran acara itu pada musim panas ini telah meningkat sejak kenaikan kes jangkitan semasa musim sejuk, tetapi masih dalam lingkungan bawah 30 peratus. 

- AFP/NK/nk

Top