Images
  • newcastle club
    (Gambar: Reuters)

Konsortium Arab Saudi ambil alih Newcastle United

LONDON: Pengambilalihan Newcastle United yang ditunggu-tunggu sejak sekian lama akhirnya dimeterai selepas kelab Liga Perdana England (EPL) itu menerima jaminan bahawa kelab tersebut tidak akan dikendalikan oleh Arab Saudi.

Langkah berkenaan menyaksikan Dana Pelaburan Awam Arab Saudi (PIF) mengambil alih 80 peratus kepentingan kelab tersebut, lantas mengakhiri pemilikan Mike Ashley selama 14 tahun sementara PCP Capital Partners milik Amanda Staveley dan RB Sports & Media pula masing-masing menguasai 10 peratus saham.

Ashley, tokoh yang tidak popular dalam kalangan penyokong Newcastle, sudah lama berusaha untuk menjual kelab itu dan akhirnya menerima tawaran sesuai yang dilaporkan bernilai £305 juta (AS$415.07 juta) pada tahun lalu.

Bagaimanapun, tawaran itu, yang disokong oleh PIF dan diketuai ahli perniagaan wanita Britain, Staveley, terencat berikutan gagal mendapat persetujuan EPL.

Perselisihan antara Ashley, bakal pemilik baru dan pengelola liga itu terus berlegar dan hampir diheret ke mahkamah timbang tara sukan pada Januari 2022.

Ia disebabkan oleh keprihatinan terhadap peranan Arab Saudi dalam PIF.

Namun, isu cetak rompak di antara Arab Saudi dan penyiar EPL yang berpangkalan di Qatar, beIN Sports, yang reda melicinkan proses pengambilalihan kelab tersebut.

Penjualan itu disahkan malam tadi dalam satu kenyataan daripada EPL.

"EPL, Kelab Bola Sepak Newcastle United dan St James Holdings Limited pada Khamis sudah menghuraikan perselisihan mengenai pengambilalihan kelab oleh konsortium PIF, PCP Capital Partners dan RB Sports & Media," menurut kenyataan itu.

"Perselisihan undang-undang membabitkan entiti mana yang akan dimiliki atau memiliki kemampuan untuk mengendalikan kelab selepas pengambilalihan ini sudahpun selesai.

"Semua pihak telah bersetuju bahawa penyelesaian ini diperlukan untuk mengakhiri ketidakpastian yang membelenggu peminat dan penyokong berhubung hak milik kelab sejak sekian lama.

"EPL menerima jaminan sah bahawa Kerajaan Arab Saudi tidak akan mengendalikan Kelab Bola Sepak Newcastle United.

"Semua pihak dengan senang hati telah menyelesaikan proses ini bagi menawarkan kepastian dan penjelasan kepada Newcastle United dan peminat mereka."

Gabenor PIF, Yasir Al-Rumayyan, akan berfungsi sebagai ketua bukan eksekutif Newcastle, Staveley akan mempunyai tempat dalam ahli lembaga pengarah dan Jamie Reuben pula akan bertindak sebagai pengarah.

- Reuters/AW/ha

Top