Images
  • jurgen
    Jurgen Klopp. (Gambar: AFP)

Klopp pertahankan Mane selepas dakwaan 'rebahkan badan' Guardiola

LONDON: Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp menolak tuduhan pengurus Manchester City, Pep Guardiola yang mendakwa Sadio Mane gemar merebahkan badan menjelang perlawanan menarik melibatkan dua pasukan terhandal Liga Perdana itu.

Mane dilayangkan kad kuning selepas gagal mendapatkan penalti sebelum melakukan umpanan dan menjaringkan gol kemenangan ketika Reds menewaskan Aston Villa 2-1, Sabtu lalu.

Guardiola yang pasukan kendaliannya turut meledak gol lewat untuk membenam Southampton menuduh pemain kelahiran Senegal itu dengan berkata: “Kadang kala beliau sengaja merebahkan badan, kadang kala beliau mempunyai bakat untuk meledak gol yang menakjubkan di saat akhir.”

Klopp yang sedang menyiapkan pasukannya menghadapi perlawanan Liga Juara-Juara menentang Genk awal pagi Rabu ini begitupun menolak kenyataan itu.

“Saya tidak pasti dia bercakap mengenai Sadio atau kami secara umum,” kata Klopp. “Saya tidak mendengar nama Sadio disebut atau tahu bagaimana kami tahu dengan amat pantas mengenai sebarang insiden dalam permainan.

“Saya boleh katakan yang Sadio bukan seorang yang sengaja merebahkan badan. Ada situasi dalam perlawanan dengan Aston Villa di mana beliau disentuh dan terjatuh. Mungkin ia bukan penalti tetapi ada sentuhan, ia bukannya dia sengaja melompat dan terjatuh.”

Klopp juga enggan membicarakan lebih lanjut mengenai perlawanan dengan City pada Ahad depan ketika pasukan kendaliannya memiliki kelebihan enam mata di puncak liga.

“Saya benar-benar tidak berminat untuk bercakap mengenai Man City hari ini,” kata Klopp.

“Saya tidak perlu memberitahu mereka perlawanan dengan City berlangsung pada Ahad depan, esok adalah bertemu Genk. Saya langsung tidak meragui pemain-pemain saya. Saya akan berasa malu jika saya berkata kepada mereka, ‘Jangan berfikir mengenai Man City lagi," kata Klopp lagi.

- AFP/NA/na

Top