Images
  • Salah
    Gambar: ANDREW YATES/REUTERS

Klopp beri masa Salah solat sebelum perlawanan

LIVERPOOL, ENGLAND: Pengurus Liverpool dalam wawancara bersama Channel 4 mendedahkan bahawa beliau akan memberikan masa kepada pemain beragama Islam dalam pasukannya itu untuk bersolat sebelum perlawanan.

Menurutnya, beliau dan pasukannya akan tiba lebih awal di bilik salin pakaian dan menunggu penyerang Liverpool Mohamed Salah, Sadio Mane dan Emre Can selesai menunaikan solat.

"Dia (Salah) seorang muslim dan dia melakukan apa penganut Islam yang lain lakukan sebelum perlawanan.

“Jadi, kami semua datang seminit atau dua minit lebih awal ke bilik salin pakaian supaya dia sempat menyediakan diri untuk perlawanan. Sama juga seperti Sadio Mane, dan Emre Can, mereka semua melakukannya,” kata beliau.

Klopp juga menjelaskan bahawa pemain lain tidak merungut kerana harus menunggu.

“Tiada orang pun merungut bertanya, kenapa kami harus tiba lebih awal dan harus tunggu. Itu semua perkara biasa dalam satu pasukan, kita cuba saling memahami satu sama lain,” tambah beliau.

Mengulas lanjut tentang Salah, Klopp berkata bahawa beliau kagum dengan watak anak muda kelahiran Mesir itu yang seakan-akan menjadi duta bangsanya.

“Ia sesuatu yang menakjubkan. Inilah yang kita perlukan buat masa ini.

“Melihat seorang pemuda yang penuh dengan keceriaan, penuh dengan kasih sayang, penuh dengan rasa persahabatan dan penuh dengan segalanya.

“Dalam dunia ini, kita agak bergelut untuk memahami semua perkara yang berlaku di sekeliling kita dalam dunia ini," kata beliau.

- Agensi berita/SM/sm

Top