KL City tamatkan penantian 32 tahun, julang Piala M'sia
Pasukan Kuala Lumpur (KL) City FC menamatkan penantian 32 tahun untuk merangkul Piala Malaysia selepas mengejutkan juara bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT) 2-0 pada peringkat akhir di Stadium Nasional Bukit Jalil, pada Selasa malam (30 Nov).
KUALA LUMPUR: Pasukan Kuala Lumpur (KL) City FC menamatkan penantian 32 tahun untuk merangkul Piala Malaysia selepas mengejutkan juara bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT) 2-0 pada peringkat akhir di Stadium Nasional Bukit Jalil, pada Selasa malam (30 Nov).
Dua jaringan masing-masing daripada Zhafri Yahya dan kapten pasukan Paulo Josue pada separuh masa kedua, turut membantu skuad The City Boys melakar sejarah sebagai juara pada ulang tahun ke-100 kejohanan berprestij yang diperkenalkan pada 1921, selain meraih tiket ke persaingan Piala AFC musim depan.
KL City, yang dikenali sebagai Kuala Lumpur FA sebelum proses penswastaan Liga Malaysia (Liga-M), pernah mencatat kejuaraan hatrik Piala Malaysia pada 1987, 1988 dan 1989, namun tidak pernah melangkah ke peringkat akhir selepas itu.
Babak pertama menyaksikan skuad Harimau Selatan menguasai perlawanan dengan serangan bertali arus mencemaskan gawang lawan, manakala KL City pula mempamerkan disiplin bertahan yang cukup baik untuk mematahkan serangan serta tangkas melakukan beberapa serangan balas.
JDT hampir membuka jaringan pada minit kelapan apabila rembatan Bergson da Silva dari kotak penalti berjaya menewaskan penjaga gawang Kevin Ray Mendoza, namun percubaan itu sekadar singgah di palang kiri gol KL City.
Tandukan Mauricio dos Santos hasil tendangan percuma Arif Aiman Hanapi pada minit ke-36 dan tandukan Safawi Rasid seminit kemudian, juga berjaya diselamatkan oleh penjaga gol import dari Filipina itu.
Skuad kendalian Bojan Hodak yang mula menunjukkan corak menyerang pada separuh masa kedua, mendapat peluang untuk memecahkan kebuntuan apabila penyerang import dari Colombia, Romel Morales berjaya meloloskan diri ke dalam kawasan penalti JDT pada minit ke-59, namun tindakan pantas penjaga gol Farizal Marlias menyelamatkan keadaan.
KL City yang turun selaku ‘underdog’ akhirnya berjaya mengejutkan JDT, apabila Zhafri menyambar bola hantaran lintang daripada J. Partiban pada minit ke-66.
Ketika skuad kendalian Benjamin Mora sedang memburu gol penyamaan, KL City mencipta satu lagi jaringan untuk melebarkan jurang menerusi kapten pasukan, Paulo Josue pada minit ke-74, yang berjaya mengawal hantaran Hadin Azman dengan baik, sebelum menerjah gawang JDT.
KL City mara ke peringkat akhir setelah mengatasi Melaka United 5-3 menerusi penentuan tendangan penalti selepas keputusan agregat terikat 2-2 pada pusingan separuh akhir, manakala juara 2017 dan 2019, JDT membenam Terengganu FC 4-1 secara agregat untuk melangkah ke perlawanan akhir.
Zhafri turut dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan di majlis penyampaian hadiah yang dihadiri oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia merangkap Presiden KL City FC Annuar Musa serta Menteri Belia dan Sukan Ahmad Faizal Azumu.
Pasukan KL City selaku juara menjulang trofi Piala Malaysia dan menerima pingat manakala JDT menerima pingat selaku naib juara.
Untuk rekod, ini adalah pertemuan pertama KL City FC dan JDT dalam perlawanan akhir Piala Malaysia selepas kedua-dua pasukan melalui penswastaan kelab, namun Johor FA pernah menewaskan Kuala Lumpur FA untuk memenangi Piala Malaysia pada 1985.
Piala Malaysia tidak dapat diadakan bermula 1942 hingga 1947 berikutan Perang Dunia Kedua manakala edisi 2020 pula dibatalkan akibat pandemik COVID-19.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.