Images
  • kiria
    (Gambar: SNOC)

Kiria Tikanah atlit lawan pedang kedua Singapura layakkan diri ke Olimpik Tokyo

SINGAPURA: Singapura akan diwakili dua atlit lawan pedang dalam Sukan Olimpik tahun ini, setelah Kiria Tikanah Abdul Rahman memenangi acara epee di pertandingan kelayakan Olimpik Asia-Oceania di Tashkent pada Isnin (26 Apr).

Kiria menjadi atlit lawan pedang warga Singapura kedua dalam tempoh dua hari untuk menempah tempat di Sukan Olimpik Tokyo, menyusuli kejayaan Amita Berthier bagi acara foil pada Ahad.

Kiria, 20 tahun, menewaskan Ulyana Balaganskaya dari Kazakhstan 15-13 di peringkat akhir, setelah menundukkan Korawan Thanee dari Thailand 15-12 di peringkat separuh akhir.

Kiria bakal menyertai Amita sebagai atlit lawan pedang wanita kedua Singapura untuk bertanding di Olimpik, dan kini yang kedua untuk langsung melayakkan diri bagi acara itu.

Sebelum ini James Wong dan Ronald Tan pernah bertanding di Olimpik 1992 dalam acara foil dan epee, tetapi tidak perlu melalui proses kelayakan kerana mereka dipilih atas dasar kedudukan mereka sebagai atlit lawan pedang terbaik negara dalam acara mereka.

Kiria merupakan juara bertahan Sukan SEA setelah membawa pulang pingat emas bagi acara tersebut pada 2019 di Filipina.

Olimpik Tokyo, yang ditunda setahun kerana pandemik COVID-19, akan bermula pada 23 Julai.

- CNA/TQ/ha

Top