Images
  • makanan sukan sea
    Antara juadah yang dihidangkan di Perkampungan Atlit. (Gambar-gambar: Izwan Ohtman/BERITAmediacorp)

Kini lebih banyak pilihan makanan halal bagi atlit Sukan SEA

NEW CLARK CITY: Lebih banyak pilihan makanan halal kini disediakan bagi para atlit Muslim Singapura di Sukan SEA ke-30 di Filipina.

Chef de Mission Team Singapore Juliana Seow memberi jaminan tersebut ketika ditemui BERITAmediacorp, sempena Upacara Menaikkan Bendera di Perkampungan Atlit, Kompleks Sukan New Clark City siang tadi (29 Nov).

Cik Seow (berbaju merah) bersama chef de mission negara-negara lain di Upacara Menaikkan Bendera.

“Makanan para atlit Muslim negara terjaga. Kami bertiga (para ketua rombongan) - Dr Valerie Teo di Manila, Encik Chung Pei Ming di Subic dan saya di Clark – bekerja rapat dengan pihak penganjur untuk memastikan kesemua aspek kebajikan setiap atlit kami dijaga dengan baik,” kata beliau.

Sebelum ini misalnya, beberapa isu dihadapi pasukan bola jaring dan pasukan bola sepak Team Singapore - yang tiba lebih awal untuk pertandingan peringkat kumpulan - termasuk makanan sejuk, kekurangan makanan serta kekurangan pilihan makanan halal di hotel mereka.

Pada Isnin (25 Nov) pula, South China Morning Post (SCMP) melaporkan bahawa atlit Muslim Singapura dihidangkan daging babi sehingga menyebabkan Cik Seow membuat aduan kepada Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Filipina (PHISGOC).

Menyangkal laporan agensi berita itu, Majlis Olimpik Kebangsaan Singapura (SNOC) mengeluarkan kenyataan menegaskan bahawa chef de mission negara tidak membuat sebarang kenyataan kepada media tersebut dan para atlit Muslim negara tidak pula dihidang daging babi.

Sebaliknya, Cik Seow sepasukan menekankan pentingnya berganding bahu dengan pihak tuan rumah bagi menangani dan menyelesaikan “masalah awal” sedemikian agar para atlit dapat “bertanding dalam persekitaran yang diingini”.

Antara pegawai dan atlit Team Singapore di Perkampungan Atlit.

Ditanya bagaimana kerjasama kedua-dua pihak sejauh ini, bekas atlit lawan pedang kebangsaan itu berkata: “Mereka memberikan kerjasama yang baik dan kami berjaya mengatasi beberapa isu. Sudah terdapat beberapa peningkatan.”

MAKANAN LAZAT, PENGINAPAN SELESA

Peningkatan-peningkatan yang disebut jelas kelihatan di Perkampungan Atlit.

BERITAmediacorp turut meninjau-ninjau dewan makan di situ dan mendapati terdapat beraneka macam juadah Barat dan Asia dihidangkan, bahkan kesemuanya dijamin halal.

Kesemua makanan di dewan makanan 24 jam itu dijamin halal.

“Setakat ini, semuanya baik. Penginapan selesa dan makanan enak lagi berzat,” kongsi Cik Seow tentang dewan makan 24 jam itu.

Kawasan kediaman lima tingkat tersebut boleh menampung sehingga 1,800 orang dan ia menyediakan beberapa kemudahan lain termasuk gim, gelanggang bola keranjang serta kolam renang.

Kompleks Perkampungan Atlit dari luar.

Kebanyakan mereka yang menginap di situ sedang ataupun bakal bertanding di lokasi-lokasi di sekitar Clark termasuk acara sukan renang, polo air dan balapan.

Suasana dalam Pusat Akuatik di Kompleks Sukan New Clark City itu.

Para pegawai dan atlit lain pula bertanding di dua lagi kawasan iaitu Manila dan Subic. Mereka menetap di tempat penginapan yang dikenal pasti oleh PHISGOC sepanjang berlangsungnya temasya sukan dwitahunan itu.

Secara keseluruhannya, lebih 8,00 atlit dari 11 negara dijangka bertanding dalam 56 sukan dari 25 November hingga 11 Disember nanti.

- BERITAmediacorp/sm

Top