Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Khabib Nurmagomedov tidak mahu cederakan Justin Gaethje di depan ibu bapanya

Jaguh seni bela diri campuran (MMA) Khabib Nurmagomedov mengundurkan diri daripada sukan tersebut setelah melenturkan Justin Gaethje dalam pertarungan UFC 254 pada hujung minggu lalu.

Anggaran Waktu Membaca:
Khabib Nurmagomedov tidak mahu cederakan Justin Gaethje di depan ibu bapanya

Khabib Nurmagomedov. (Gambar: khabib_nurmagomedov/Instagram)

Diterbitkan : 27 Oct 2020 02:05PM Dikemas Kini : 27 Oct 2020 02:11PM

ABU DHABI: Jaguh seni bela diri campuran (MMA) Khabib Nurmagomedov mengundurkan diri daripada sukan tersebut setelah melenturkan Justin Gaethje dalam pertarungan UFC 254 pada hujung minggu lalu.

Khabib mengumumkan persaraannya daripada sukan tersebut sejurus selepas menewaskan Gaethje.

Kemenangan itu juga merupakan satu pencapaian yang luar biasa bagi Khabib yang melabuhkan tirai kerjayanya dengan rekod 29 kemenangan tanpa kalah.

Meskipun kemenangan itu bukan sesuatu yang mengejutkan, namun cara beliau menundukkan Gaethje mungkin sesuatu yang tidak dijangkakan sama sekali.

Ini kerana Khabib buat pertama kalinya mengunci lawannya menggunakan "triangle choke".

Semasa "DC and Helwani Show" pada Isnin, seorang rakan lama Khabib, Daniel Cormier, mendedahkan bahawa Khabib ingin membuat Gaethje "terlena" kerana Gaethje sebelum ini ada mengatakan bahawa beliau tidak akan menyerah kalah.

"Beliau memberitahu saya bahawa beliau sudah menyaksikan beberapa wawancara dan dalam wawancara-wawancara itu Gaethje mengatakan bahawa dia tidak akan menyerah kalah," kata Cormier.

"Justin tidak akan menyerah kalah. Oleh itu apabila beliau ingin melakukan kuncian tersebut, beliau memberitahu saya bahawa kaedah itu adalah kegemaran arwah bapanya.

"Oleh itu, beliau merancang untuk melakukannya. Bagaimanapun beliau mendengar Gaethje berkata sepanjang minggu bahawa beliau tidak akan sekali-kali menyerah kalah dan beliau tidak mahu menyakitinya di hadapan kedua-dua ibu bapanya. Justeru, beliau melakukan kuncian "triangle choke" dan hanya membuatnya rebah.

"Saya berjanji kepada anda. Beliau benar-benar berkata demikian kepada saya. Beliau berkata: "Saya tidak mahu menyakitinya di hadapan ibu bapanya, saya akan menggunakan kuncian "triangle". Jika beliau rebah, beliau akan bangun seperti biasa selepas itu."

"Beliau tidak mahu mencederakan Gaethje di hadapan ibu bapanya."

Sebelum ini, Khabib hanya memenangi empat pertarungan menerusi kuncian "triangle" semasa di Rusia, termasuk pertarungan sulung dalam MMA pada 2008.

Tidak dapat dinafikan, Khabib adalah antara legenda MMA yang paling hebat.

Bahkan, cara Khabib menewaskan Gaethje itu barangkali membuat para peminat lebih menghargainya.

Banyak pihak sebelum ini yang mempersoalkan sama ada Khabib mampu tampil melawan Gaethje di gelanggang selepas pemergian ayahnya Abdulmanap, 57 tahun, pada Julai akibat komplikasi yang disebabkan oleh COVID-19.

Ayahnya melatih beliau bertarung dalam sukan seni bela ini sejak usia muda dan sentiasa di sisinya di Abu Dhabi pada September 2019 ketika Khabib menumbangkan Dustin Poirier. 

Sumber : Agensi berita/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan