Images
  • khabib
    Khabib Nurmagomedov. (Gambar: khabib_nurmagomedov/Instagram)

Khabib kini atlit dengan bayaran tertinggi di UFC

RUSIA: Bintang seni bela diri campuran (MMA), Khabib Nurmagomedov kini merupakan atlit yang menerima bayaran paling tinggi di UFC selepas memperbaharui kontrak dengan pertubuhan itu untuk kemunculannya di UFC 242, pada September nanti.

Khabib, 30 tahun, akan mempertahankan kejuaraan lightweight yang disandangnya dengan juara lightweight sementra, Dustin Poirier pada acara yang dijadualkan berlangsung pada 7 September di Abu Dhabi, Amiriah Arab Bersatu (UAE).

Pengurusnya, Ali Abdelaziz berkata, beliau dan Khabib teruja dan berpuas hati dengan kontrak baru itu, sambil menyifatkannya sebagai adil dan telus, lapor MMAFighting.

"Kami sangat gembira. Kami dijaga dengan baik. Kami tidak minta lebih dari itu. Kami sangat bersyukur. Rundingan paling mudah yang pernah saya lakukan.

"Ia adil, telus. Ini adalah salah satu tawaran terbesar dalam sejarah UFC," katanya menurut laporan MMAFighting.

Menurut Ali, antara sebab Khabib menerima bayaran sedemikian adalah kerana beliau merupakan atlit MMA yang paling hebat ketika ini, dan belum pernah tewas.

"Beliau tidak pernah kalah. Beliau menguasai setiap pusingan terhadap hampir kesemua lawannya. Tidak mengambil (dadah), tiada apa-apa.

"Inilah sebabnya beliau ialah atlit yang menerima bayaran paling tinggi di UFC hari ini. Percayalah. Beliau ialah atlit dengan bayaran tertinggi di UFC hari ini. Dan saya katakan sekali lagi kerana saya melihat segala-galanya. Mereka dah tunjukkan kepada saya. Khabib ialah atlit dengan bayaran tertinggi di UFC dan kami gembira. Kini masa untuk bertarung," katanya lagi.

Satu lagi faktor utama yang memberi inspirasi kepada Khabib menjelang pertarungan dengan Poirier di UFC 242 ialah bapanya Encik Abdulmanap Nurmagomedov, yang akan kembali menemani anaknya di Abu Dhabi.

Sebelum ini, isu-isu berkaitan Visa menghalangnya daripada menemani Khabib.

Bagaimanapun, beliau kini mempunyai peluang menemani anaknya apabila Khabib berlawan dengan Poirier pada September nanti.

- Agensi berita/NA/na

Top