Images
  • khabib
    Khabib Nurmagomedov. (Khabib Nurmagomedov/Facebook)

Khabib cabar Mayweather untuk berentap: 'Hanya ada satu raja'

RUSIA: Khabib Nurmagomedov mencabar Floyd Mayweather untuk bertarung dengan satu pesanan untuk lawannya yang belum pernah ditewaskan: "Dalam hutan hanya ada satu raja".

Khabib menambah rekod kerjaya profesional beliau dalam seni bela diri campuran atau MMA kepada 27-0 dan mengekalkan gelaran lightweight UFC setelah menewaskan Conor McGregor di UFC 229 di Las Vegas hujung minggu lalu. Bagaimanapun, kemenangannya itu tercalar akibat pergaduhan yang tercetus selepas pertarungan.

Malah, wang kemenangan yang sepatutnya diterima Khabib ditahan oleh Suruhanjaya Olahraga Nevada, setelah beliau melompat keluar dari pagar gelanggang dan menyerang salah seorang anggota pasukan McGregor.

Kedua-dua Khabib dan McGregor digantung daripada bertarung buat sementara, sedang satu siasatan penuh dijalankan.

Ia merupakan pertarungan UFC pertama McGregor setelah beliau ditewaskan oleh Mayweather pada Ogos 2017.

Mantan juara dunia bagi lima kelas berat badan berbeza,Mayweather, tidak pernah ditewaskan dalam 50 pertarungan.

"Ayuh, Mayweather, kami perlu bertarung sekarang," kata Khabib, dalam satu video Instagram yang dirakam bersama ketua eksekutif Mayweather Promotions, Leonard Ellerbe.

"50-0 v 27-0 - dua jejaka yang tidak pernah kalah. Mengapa tidak?"

McGregor kalah di tangan Khabib melalui penyerahan pada pusingan keempat.

"Sudah tentu saya raja kerana Mayweather gagal menjatuhkan McGregor manakala saya, berjaya menjatuhkannya dengan mudah," tambah Khabib.

Mayweather, yang belum lagi menyertai sebarang perlawanan sejak pertarungannya dengan McGregor berkata bahawa beliau akan kembali dari persaraannya untuk bertarung dengan Manny Pacquiao dalam satu perlawanan semula lewat tahun ini. 

- Agensi berita/NA/na

Top