Images
  • mori japan
    (Gambar: Reuters)

Ketua Olimpik Tokyo dijangka letak jawatan gara-gara komen persenda wanita

TOKYO: Ketua Sukan Olimpik Tokyo 2020 Yoshiro Mori dijangka akan meletak jawatan pada Jumaat (12 Feb) kerana membuat komen berbaur seksis. Datuk Bandar Perkampungan Olimpik Saburo Kawabuchi berkata Encik Mori meminta beliau untuk mengambil alih tempatnya.

Menurut Encik Kawabuchi, beliau menerima permintaan Encik Mori dalam satu mesyuarat penuh emosi pada Khamis (11 Feb) dengan kedua-dua lelaki itu menitiskan air mata.

"Encik Mori secara berterus terang berkata 'Saya mahu anda mengambil alih sekarang'," kata Encik Kawabuchi, 84 tahun, kepada para wartawan pada Khamis.

"Saya fikir tentu sukar baginya dan saya tidak dapat berhenti menangis," kata Encik Kawabuchi.

Encik Mori, 83 tahun, yang merupakan mantan perdana menteri Jepun mencetuskan kemarahan masyarakat antarabangsa setelah membuat komen berbaur seksis bahawa kaum wanita terlalu banyak bercakap, yang dibuatnya semasa mengadakan satu mesyuarat jawatankuasa Olimpik.

Encik Mori sudah memohon maaf atas komennya, namun sejauh ini, enggan meletak jawatan meskipun terdapat gesaan supaya beliau mengundurkan diri.

Peletakan jawatannya yang dibuat kurang enam bulan sebelum Sukan Olimpik Musim Panas bermula, menimbulkan tanda tanya sama ada temasya sukan yang ditangguhkan itu dapat diadakan pada tahun ini.

Para pegawai Sukan Olimpik sedang menghadapi kesukaran tentang bagaimana untuk mengadakan temasya sukan tersebut dengan selamat, dengan puluhan ribu atlit dan penonton di tengah-tengah pandemik koronavirus.

- Reuters/HA/ha

Top