Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Ketika Maradona bertandang ke M'sia berentap dengan Fandi, Mokhtar Dahari di KL...

Sebagai seorang pemain bola sepak terulung sepanjang zaman yang memukau dunia dengan sentuhan ajaibnya, Diego Maradona pernah sekali mempersembahkan kebolehan luar biasanya mengawal bola di hadapan penonton tempatan di Stadium Merdeka pada Januari 1982. 

Anggaran Waktu Membaca:
Ketika Maradona bertandang ke M'sia berentap dengan Fandi, Mokhtar Dahari di KL...

(Gambar: Agensi berita)

Diterbitkan : 26 Nov 2020 11:32PM Dikemas Kini : 27 Nov 2020 02:56PM

KUALA LUMPUR: Sebagai seorang pemain bola sepak terulung sepanjang zaman yang memukau dunia dengan sentuhan ajaibnya, Diego Maradona pernah sekali mempersembahkan kebolehan luar biasanya mengawal bola di hadapan penonton tempatan di Stadium Merdeka pada Januari 1982.   

Selepas empat tahun, beliau mengetuai pasukan kebangsaan Argentina dan memberikan inspirasi kepada rakan sepasukannya untuk menjulang Piala Dunia 1986, memenangi perlawanan pusingan akhir menewaskan Jerman Barat namun, perlawanan suku akhir menentang England kekal sebagai satu detik tidak dapat dilupakan dalam kerjayanya iaitu jaringan beliau didakwa menggunakan tangan yang dikatakan sebagai “Hand of God”.

Dalam perlawanan suku akhir Piala Dunia yang tidak dapat dilupakan, Maradona mempamerkan aksi solonya yang menakjubkan menggelecek melepasi beberapa pemain pertahanan untuk menjaringkan gol yang tercatat dalam sejarah sebagai “gol abad ini” -- empat minit selepas golnya menerusi “Hand of God” dalam perlawanan itu.

Mengimbau kembali kepada 1982, Maradona yang ketika itu berusia 22 tahun dengan pasukannya Boca Juniors datang ke Malaysia menentang pasukan Jemputan Selangor XI dalam satu perlawanan persahabatan dan meletakkan namanya dalam senarai penjaring selepas merembat masuk bola yang menewaskan penjaga gol legenda negara - mendiang R Arumugam yang dikenali sebagai “Spiderman”.  

Hampir 23,000 peminat tempatan menjerit-jerit namanya apabila bekas bintang Barcelona dan Napoli itu berjalan keluar melalui terowong stadium sebelum mereka terpukau dengan  aksinya di padang.

“Bila dia datang, setiap orang tahu mereka akan menyaksikan seorang bakal bintang dari Argentina. Pada masa itu beliau merupakan seorang pemain hebat yang sedang menggilap bakatnya,” kata bekas wartawan Bernama Tham Choy Lim ketika mengimbas kembali malam bersejarah dalam bola sepak Malaysia itu kepada Bernama.

Encik Tham berkata ramai orang datang membanjiri stadium untuk melihat Maradona yang melonjak naik namanya ketika beraksi dengan Boca Juniors.

Beliau juga mendedahkan peminat Malaysia bernasib baik dapat menyaksikan Maradona dan pasukannya datang ke Malaysia dan mempamerkan kehebatan mereka di hadapan mata mereka sendiri. 

“Memandangkan Januari merupakan luar musim di Argentina, pasukan Boca Juniors membuat keputusan memilih Malaysia sebagai satu persinggahan untuk kempen pramusim dan saya bertuah kerana dipilih oleh ketua saya untuk membuat liputan perlawanan yang tidak akan dilupakan sepanjang hidup saya,” katanya. 

Selangor pada ketika itu mengetengahkan pemain utama seperti arwah Mokhtar Dahari, Santokh Singh dan pemain jemputan seperti legenda negara Soh Chin Aun, legenda Singapura Fandi Ahmad dan bintang Thailand Piyapong Pue-on.

Sementara itu Santokh, menggambarkan Maradona sebagai seorang pemain yang tangkas dan penuh kemahiran biarpun hanya sekali berhadapan beliau dalam stadium yang padat dengan penonton. 

Dalam pertarungan hampir empat dekad lalu itu Fandi sumbatkan 1 gol pada minit ketiga. Carlos Cordoba kemudian membalas dengan 1 gol. Maradona akhirnya jaringkan 1 gol untuk kemenangan Boca Juniors ketika itu.

“Ia adalah satu kenangan terindah dan hebat bermain dengan seorang pemain unggul seperti Maradona. Kemahirannya adalah menakjubkan dan saya mendapati sukar untuk mengawal beliau,” kata Santokh. 

Maradona meninggal dunia pada Rabu (25 Nov) akibat serangan jantung di kediamannya di Daerah Tigre, utara Buenos Aires, ibu negara Argentina.

Bekas pemain dan jurulatih bola sepak itu, yang baru-baru ini memimpin pasukan bola sepak Gimnasia y Esgrima La Plata, menjalani pembedahan selepas diserang strok pada awal November ini.

Pada 30 Okt lalu, Maradona menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-60.

Sumber : Bernama/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan