Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Kesihatan Chong Wei diutamakan, bukan isu bila kembali ke gelanggang

Bekas pemain perseorangan nombor satu dunia, Roslin Hashim, berharap kesihatan Lee Chong Wei dapat pulih sepenuhnya di samping tidak terlalu memikirkan masa depannya selaku pemain badminton negara.

Anggaran Waktu Membaca:
Kesihatan Chong Wei diutamakan, bukan isu bila kembali ke gelanggang

Lee Chong Wei. (Gambar: Getty Images)

Diterbitkan : 29 Sep 2018 10:03PM Dikemas Kini : 29 Sep 2018 10:05PM

MALAYSIA: Bekas pemain perseorangan nombor satu dunia, Roslin Hashim, berharap kesihatan Lee Chong Wei dapat pulih sepenuhnya di samping tidak terlalu memikirkan masa depannya selaku pemain badminton negara.

Malaysia masih lagi dikejutkan dengan berita masalah kesihatan yang dialami Chong Wei.

Pemain perseorangan negara itu didiagnosis menghidap barah hidung dan kini menjalani proses rawatan dan pemulihan di Taiwan.

Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Norza Zakaria, mengesahkan sebaik sahaja Chong Wei pulih, beliau akan kembali ke tanah air.

Menurut Astro Awani, dengan status Chong Wei akan kembali ke gelanggang bagi mengharumkan nama negara menjadi perbualan utama, Roslin berpandangan perkara itu tidak seharusnya dibincangkan buat masa ini, sebaliknya mengharapkan pemain itu sembuh seperti sediakala.

"Buat masa ini, kami tidak perlu memikirkan kebarangkalian Chong Wei untuk kembali gelanggang kerana perkara paling utama adalah pulih sepenuhnya.

"Kembali beraksi mampu menjadi semangat buat Chong Wei tetapi mencapai tahap tertinggi bukanlah sesuatu yang perlu dijadikan persoalan.

"Walaupun mengetahui atlit-atlit seperti Chong Wei ataupun Lance Armstrong (atlit berbasikal antarabangsa yang mengalami barah testikel) yang berada pada tahap elit tetapi boleh menerima masalah kesihatan ini. Pada pendapat saya, faktor pemakanan jangka panjang mampu menjejaskan sesiapa sahaja," kata Roslin dalam temu bual nadi@1 pada Sabtu (29 Sep).

Astro Awani melaporkan, Roslin turut menjelaskan Malaysia perlu menerima hakikat jika Chong Wei berhasrat untuk bersara daripada arena badminton.

"Suatu hari nanti, Chong Wei akan bersara, cuma buat masa ini semua orang tidak boleh membayangkan sukan badminton tanpa pemain nombor satu negara ini.

"Mengenai persediaan menghadapi situasi ini, BAM seharusnya mengatur perancangan jangka panjang bagi menerima hakikat seseorang pemain akan bersara," tambahnya seperti ditukil Astro Awani.

Roslin menganggap masa yang panjang amat diperlukan bagi melahirkan perseorangan yang memiliki taraf yang sama seperti Chong Wei sementara mengharapkan pemain-pemain yang dianggap sebagai sandaran perlu meningkatkan lagi kualiti mereka.

"Secara jujurnya, mencari semula pemain perseorangan bertaraf Chong Wei memerlukan jangka masa panjang. Buat masa ini, Malaysia memiliki sandaran seperti Lee Zii Jia, Leong Jun Hao dan Tan Jia Wei. Mereka dilihat sebagai pengganti tetapi berdasarkan pencapaian, mereka masih lagi ketinggalan," katanya.

Sumber : Agensi berita/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan