Images
  • Tan Eng Liang
    Pelancaran Dana Polo Air Yayasan Olimpik Singapura-Keluarga Tan. (Gambar: Yayasan Olimpik Singapura)

Keluarga Tan Eng Liang derma S$500,000 sokong atlit polo air S'pura

SINGAPURA: Sebuah keluarga yang sudah melahirkan beberapa pemain sukan polo air negara mendermakan S$500,000 untuk membantu rakan-rakan atlit yang lain.

Demikian menurut Yayasan Olimpik Singapura hari ini (21 Mac).

Diterajui oleh bekas atlit Sukan Olimpik, Tan Eng Liang, Dana Polo Air Yayasan Olimpik Singapura-Keluarga Tan itu akan "mengasah bakat para atlit muda dan melatih pemain elit, supaya mereka dapat melonjakkan nama Singapura sebagai kuasa polo air di Asia", menurut yayasan itu.

Dana itu dilancarkan hari ini di Hab Tampines Kita bersama Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Edwin Tong.

"Meskipun saya hanya menerima dermasiswa universiti S$200, ia membantu saya menampung tambang bas. Apa pun jumlah yang anda dapat sebagai atlit negara adalah banyak. Jadi (dana ini) adalah sumbangan kecil keluarga kami untuk menyokong para pemain sukan polo air," kata Dr Tan, yang merupakan penerima pertama biasiswa Rhodes di Singapura.

"Polo air membawa saya ke Sukan Olimpik dan saya meraih manfaat daripadanya bukan setakat mengibarkan bendera Singapura tetapi juga meraih pelbagai pencapaian semasa bermain untuk negara.

"Polo air juga mengubah hidup saya. Tanpa polo air dan pendidikan akademik, saya tidak berpeluang dianugerahi biasiswa. Saya sangat berterima kasih kepada sukan ini."

Setiap dolar yang didermakan melalui dana itu layak dipadankan oleh pemerintah di bawah Dana One Team Singapore, menurut yayasan itu.

Encik Tong berkata: "Sumbangan oleh Dr Tan Eng Liang dan keluarganya sepanjang bertahun-tahun kepada sukan polo air dan arena sukan di SIngapura sangat besar dan luas.

"Dana baru ini akan menyokong para atlit berbakat dan yang menunjukkan kelakonan terbaik serta membantu mereka mencapai aspirasi sukan masing-masing."

Naib Presiden Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa Ng Ser Miang menambah: "Dana itu adalah cara terbaik bagi Dr Tan Eng Liang dan keluarganya untuk memainkan peranan utama dalam pembangunan sukan polo air di Singapura dan meneruskan warisan keluarganya - kerana mereka sudah melakukannya selama berdekad-dekad."

LEGASI KELUARGA

Dr Tan, bersama adik-beradiknya Tan Eng Bock dan Tan Eng Chai, serta pakcik mereka, Tan Hwee Hock, memenangi pingat emas di Sukan Asia 1954.

Mereka kemudian mewakili negara di Sukan Olimpik Melbourne 1956, yang kekal sebagai satu-satunya penyertaan Singapura salam sukan polo air di peringkat Sukan Olimpik.

Mereka juga menganggotai pasukan Singapura yang meraih pingat emas pertama dalam acara polo air semasa Sukan SEA 1965, sekali gus membawa tuah kemenangan berturut-turut selama 54 tahun sehingga 2019.

Anak-anak Tan Eng Bock, Mark dan Matthew, juga mewakili Singapura, dengan Mark kemudian menjadi kapten pasukan Singapura pada 1983 dan memenangi 10 pingat emas berturut-turut dalam Sukan SEA.

Tan Hwee Hock, Tang Eng Chai dan Tang Eng Bock meninggal dunia pada tahun 2020 dan awal 2021.

Dr Tan "sangat teruja untuk meneruskan legasi mereka dan mempertingkatkan sokongan serta pembangunan sukan itu," menurut yayasan tersebut.

"Ayuh kita bangunkan semula, dan dalam jangka pendek usahakan dan terus jadikan sukan polo air sebagai kebanggaan Singapura," kata beliau.

"Jika anda lihat semua pasukan sukan di Singapura, tiada satu pun yang mempunyai sejarah cemerlang berbanding polo air."

Dana itu akan ditadbir urus oleh Yayasan Olimpik Singapura menerusi dermasiswa, biasiswa dan pelbagai program.

Ia bertujuan untuk mengupayakan para atlit muda polo air untuk "mengecapi matlamat mereka", menyokong pemain berprestasi tinggi polo air supaya dapat mewakili negara dan menggalak persekitaran sihat bagi kemajuan sukan itu di Singapura. 

- CNA/NK/nk

Top