Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Keluarga 3 generasi wakili S'pura ke Sukan Bola Sepak Berjalan Antarabangsa di Australia

Sebuah pasukan tiga generasi bakal mewakili Singapura ke Sukan Masyarakat Bola Sepak Berjalan Antarabangsa di Australia pada tanggal 6 hingga 8 Disember.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Sebuah pasukan tiga generasi bakal mewakili Singapura ke Sukan Masyarakat Bola Sepak Berjalan Antarabangsa di Australia pada tanggal 6 hingga 8 Disember.

Pasukan seramai 15 anggota itu dijadual berangkat ke Perth minggu depan.

Suasana meriah dan riuh di Stadium Toa Payoh dengan kehadiran anggota keluarga daripada pelbagai peringkat usia - lengkap menyarung jersi merah untuk menyertai sukan Bola Sepak Berjalan bersama.

Lebih menarik lagi, perhimpunan pada Sabtu (30 Nov) yang pertama menampilkan sebuah pasukan tiga generasi - menggabungkan datuk nenek bersama anak dan cucu mereka!

"Jadi mungkin bola sepak berjalan ini boleh dijadikan satu riadah sekeluarga bukan saja untuk meningkatkan kesihatan tetapi juga merapatkan silaturahim dan merapatkan jurang tiga generasi," kata pakar kesihatan, Dr Dee Dee Mahmood.

Anggota Parlimen GRC Bishan-Toa Payoh Saktiandi Supaat turun padang untuk memberi sokongan kepada pasukan tersebut semasa sesi latihan.

"Kita ingin menarik ramai warga senja yang berumur 60-80 tahun kalau masih sihat daripada tinggal di rumah. Ada yang tinggal sendirian, jadi ingin mereka turun padang buat kawan, dapat sinar matahari dan lebih sihat," ujar beliau.

Bermula dengan 10 pemain wanita di Singapura pada 2016, sukan itu kini mempunyai hampir 100 orang dalam sebuah pasukan termasuk juga pemain lelaki.

Kebanyakan mereka bergiat dalam sukan tersebut kerana ia sesuai bagi semua peringkat usia dengan yang muda berusia tujuh tahun manakala paling tua pula, 72 tahun.

Maka, tidak hairanlah jika peserta yang mempunyai penyakit seperti tekanan darah tinggi, angin ahmar dan semput turut bergiat dalam sukan itu.

Pasukan Sukan Berjalan Kesihatan berlatih setiap Ahad di Stadium Toa Payoh.

"Kami amat berminat menjadikan sukan Bola Sepak Berjalan sebagai satu senaman atau sukan penting yang juga satu rawatan supaya kami boleh membuat kajian. Hasilnya mungkin kami boleh mempromosikan Bola Sepak Berjalan di merata dunia terutama sekali menggalakkannya di Singapura serta Australia dan membina kolaborasi dan kerjasama antara kedua-dua negara," kata Dekan Bersekutu Universiti Edith Cowan, Dr Robert Newton, yang merupakan penaja sukan.

Sukan Bola Sepak Berjalan juga dijangka dipertandingkan di peringkat Piala Dunia pada tahun 2021. 

Sumber : BERITA Mediacorp/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan