Images
  • sg palestine
    (Gambar: AFC)

Kelayakan Piala Dunia FIFA 2022: S'pura kalahkan Palestin 2-1

SINGAPURA: Pasukan bola sepak Singapura berjaya mencatat kemenangan 2-1 ke atas Palestin pada Selasa malam (10 Sep) dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia 2022.

Palestin memasuki padang perlawanan dengan kedudukan lebih meyakinkan setelah menundukkan Uzbekistan 2-0, berbanding keputusan seri 2-2 ketika Singapura menentang Yaman Khamis lalu.

Namun ia nampaknya tidak mematahkan semangat pasukan Singa, dengan Shakir Hamzah hanya mengambil masa empat minit untuk menjaringkan gol pembukaan bagi pihak tuan rumah, yang disambut sorakan meriah para penonton yang membanjiri penuh Stadium Jalan Besar.

Meskipun Singapura menunjukkan taringnya pada tahap awal perlawanan, pemain Yasir Hamed dengan segera menyamakan kedudukan buat Palestin dan membolosi gawang sekali gus menewaskan penjaga gol Izwan Mahbud pada minit ke-13.

Namun Safuwan Baharudin kemudian berjaya menandukkan tendangan sudut pada minit ke-39 untuk memberi kemenangan kepada Singapura.

Kejayaan pasukan Singapura yang menduduki ranking ke-162 FIFA untuk menundukkan pasukan tangga ke-102, Palestin seolah-olah menebus keputusan seri 2-2 tuan rumah apabila berdepan dengan Yaman dalam perlawanan pertama di Stadium Negara sebelum ini.

Dengan pungutan empat mata keseluruhannya, anak didik Tatsuma Yoshida kini berada di tangga teratas kumpulan D.

- BERITAmediacorp/tq

Top