Skip to main content

Iklan

Iklan

Nadi Kampus

Kelab bola sepak EPL kongsi tips ‘Wolves Way’ dengan pemain cilik S’pura

Meskipun letih berlatih di bawah terik matahari, beliau tetap tersenyum bahkan giat memberi motivasi kepada rakan-rakan sepasukannya.

Anggaran Waktu Membaca:
Kelab bola sepak EPL kongsi tips ‘Wolves Way’ dengan pemain cilik S’pura

Jurulatih Akademi Elit Wolves, Leon Jackson bergambar dengan dua pemain cilik tempatan Akademi F17. (Gambar-gambar: F17 Academy)

BERITAmediacorp: Meskipun letih berlatih di bawah terik matahari, beliau tetap tersenyum bahkan giat memberi motivasi kepada rakan-rakan sepasukannya.

Dengan sikap positif itu, Adib Azfar Harun Al-Rashid, 11 tahun diberikan Anugerah Perwatakan Terbaik di akhir Perkhemahan Pengalaman Elit Wolves.

Adib (bib oren), berlatih di Pusat Sukan dan Rekreasi SUTD.

“Pada hari pertama perkhemahan, kami semua macam malu-malu tapi jurulatih kata jangan malu-malu, buat kawan baru. Sekarang saya sudah seronok, dah tak malu lagi,” kata pelajar Sekolah Rendah Newtown itu.

Buat julung-julung kalinya, Adib dan sekitar 50 pemain cilik yang lain berpeluang menjalani latihan selama tiga hari di bawah bimbingan jurulatih luar negara dari Akademi Elit Wolves.

Hasil kerjasama antara kelab Liga Perdana England, Wolverhampton Wanderers dengan pertubuhan bola sepak Singapura, Akademi F17, perkhemahan itu dikendalikan dari 10 hingga 12 Jun lalu.

APA ITU WOLVES WAY?

Diadakan di Pusat Sukan dan Rekreasi Universiti Teknologi dan Reka Bentuk Singapura (SUTD), para peserta yang berusia antara 8 hingga 14 tahun turut berpeluang mempelajari kaedah latihan unik yang dikenali sebagai ‘Wolves Way’.

Mierza bergambar dengan jurulatih Wolves, Leon Jackson.

“Ia rasa lebih mencabar. Saya belajar bagaimana untuk melepasi pemain pertahanan. Saya juga belajar bagaimana untuk mengumpan bola dan bagaimana untuk menyempurnakan hantaran,” kongsi Mierza Arif, 8 tahun.

Pelajar Sekolah Rendah East Spring yang turut dikenal pasti sebagai pemain yang paling banyak memperlihatkan kemajuan itu juga gembira dapat menimba pengalaman sekali seumur hidup itu.

Apakan tidak, jurulatih Akademi Elit Wolves, Leon Jackson dan Kevin Foley diterbangkan khas dari England untuk memberi tunjuk ajar kepada mereka.

Leon Jackson sudahpun menjadi jurulatih Akademi Elit Wolves selama 8 tahun manakala Kevin Foley adalah bekas pemain Wolverhampton Wanderers FC.

Dengan Akademi Elit Wolves menduduki tempat ketiga dalam kalangan kelab Kategori 1 Liga Perdana England, tentunya tips dan kemahiran yang diturunkan sangat bermanfaat.

“Kanak-kanak ini sudahpun memberi yang terbaik dan anda boleh lihat keghairahan mereka. Itulah yang memang kami mahukan apabila kami sampai di sini,” kata Encik Leon yang sudah lapan tahun menjadi jurulatih juara Liga Perdana 2 yang baru-baru ini layak ke Divisyen 1 itu.

“Mesej utama yang kami dari Wolves ingin sampaikan adalah untuk bekerja keras, selalu bekerja keras dan buat yang terbaik. Pada masa yang sama, anda harus suka apa yang anda lakukan. Sekiranya mereka fokus kepada kedua-dua aspek ini dan tekun belajar, mereka akan dapat memperbaiki diri,” tambah beliau.

JURULATIH ALU-ALUKAN KERJASAMA

Para jurulatih Akademi F17 bergambar dengan jurulatih Wolves. 

Dalam pada itu, para jurulatih dari Akademi F17 turut mengambil kesempatan daripada latihan khusus itu untuk menimba ilmu dari kedua-dua jurulatih berkenaan.

Sepanjang tempoh perkhemahan, kesemua 12 jurulatih Akademi F17 juga diselia oleh Encik Leon dan Encik Kevin semasa mengendalikan sesi-sesi latihan.

Selain itu, mereka juga berpeluang untuk bertukar-tukar pandangan tentang cara-cara melatih pemain berdasarkan konvensyen jurulatih khas bagi jurulatih Akademi F17.

“Sebagai jurulatih, tidak semestinya kita kekal di satu tahap saja. Kita harus belajar tiap-tiap hari, setiap masa, kalau ada peluang, kita harus belajar.

Fadhil memberi tunjuk ajar kepada para pemain didikannya. 

“Bagi saya, ada manfaatnya untuk belajar daripada orang-orang dari luar negara kerana cara mereka dan cara di Singapura mungkin berbeza. Dan bagus untuk kita belajar perkara-perkara baru daripada mereka,” ujar Fadhil Salim, 36 tahun.

Turut mengongsi pandangan yang sama ialah Pengurus Akademi F17, Habil Hakim yang mengalu-alukan peluang untuk belajar dan duduk berbincang dengan para jurulatih dari luar negara.

“Singapura sebagai sebuah negara, tidak banyak sumber. Oleh itu, kita memanfaatkan para pakar dari luar negara untuk membangunkan ekonomi.

Habil Hakim bergambar dengan pembimbingnya, Frank Kobayashi. (Gambar ihsan: Habil Hakim)

Habil giat membantu Akademi F17 mengembangkan sayap ke luar negara.  

“Bagi dunia bola sepak, saya rasa kita juga boleh melakukan sedemikian rupa. Kita boleh membawa masuk jurulatih cemerlang dan mempelajari kaedah mereka, bagaimana untuk melatih dengan berkesan,” luah beliau sambil menambah bahawa Akademi F17 juga menganjurkan perkhemahan di Malaysia dan China.

Malah, konvensyen jurulatih turut dibuka kepada orang awam dan bakal berlangsung pada 15 Jun ini. Selain itu, Perkhemahan Pengalaman Elit Wolves juga akan dianjurkan sekali lagi dari 17 hingga 19 Jun ini.

Pendaftaran boleh dilakukan di https://wolvescampsingapore.com/camps-1. 

Sumber : BERITA Mediacorp/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan