Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Kejohanan Pencak Silat Sedunia kembali ke S'pura; PERSISI yakin dapat harumkan nama negara

Selepas 14 tahun, Kejohanan Pencak Silat Sedunia kembali diadakan di Singapura pada Disember ini.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Selepas 14 tahun, Kejohanan Pencak Silat Sedunia kembali diadakan di Singapura pada Disember ini.

OCBC Arena menjadi medan pertarungan bagi pesilat terhandal dunia dari lebih 40 negara.

Ketika menjadi tuan rumah pada 2004, para pesilat negara mencatat prestasi yang terbaik pernah dicapai di peringkat dunia dengan meraih empat pingat emas, empat perak dan sembilan gangsa.

Mampukah pendekar dan srikandi kita memperbaiki prestasi cemerlang itu?

BERITAmediacorp mendapatkan pandangan anggota Persatuan Silat Singapura (PERSISI) sempena sidang media mengenai edisi ke-18 temasya dwi-tahunan itu.

SEDIA TEMPUR WALAU APA CABARAN

"Kita sedia akan tempur setiap kali ada pertandingan baik kecil ataupun besar seperti ini. Kali ini, atlit-atlit kita, atlit muda, juga penuh dengan semangat dan mereka telah menunjukkan prestasi-prestasi mereka di banyak kejuaraan besar. Dan saya yakin, insya-Allah kita akan dapatkan yang lebih baik daripada apa yang kita meraih pada tahun 2004," kata Ketua Pegawai Eksekutif PERSISI Sheik Alauddin Yacoob.

Beliau turut mengalu-alukan sokongan penduduk setempat bagi meningkatkan semangat para pesilat.

Antara yang tidak sabar untuk mengharumkan nama negara ialah Nurzuhairah Muhammad Yazid yang membuat penampilan sulung di termasya Disember nanti.

"Pertandingan sebelum ini di Sukan Asia, saya mendapatkan perak untuk kategori tunggal puteri dan itu beri saya lebih semangat dan saya lagi dahagakan untuk mendapatkan juara emas," kongsi beliau.

Juara dunia, Muhammad Shakir Juanda pula memburu emas yang ketiga selepas menjadi johan tahun 2012 dan 2016.

Beliau yakin dapat mencapai sasarannya itu dengan sokongan padu rakyat Singapura.

"Atlit Singapura dapat kelebihan dari segi sokongan moral. Banyak keluarga yang boleh datang dan sokong kita. Permainannya berbeza tapi saya tahuyang saya mempunyai pengalaman yang banyak. Jadi saya akan buat yang terbaik," jamin pendekar negara itu.

Lebih 40 negara dijangka menghantar wakil terhandal mereka untuk berentap di gelanggang OCBC Arena dalam 24 kategori yang dipertandingkan.

RAIH SOKONGAN PELBAGAI PIHAK

Ini merupakan kali ketiga Singapura menjadi tuan rumah acara yang dinanti-nantikan ini dengan pelbagai pihak turut serta untuk menjayakannya.

"SportsSG, Team Nila akan bantu kita dan juga SSI (Institut Sukan Singapura) akan bantu kita. Dan Aladdin Street.com dan juga Jamiyah, Persatuan Rakyat dan juga berbagai-bagai lagi organisasi yang sama-sama ingin menjayakan kejuaraan ini," kata Encik Sheik.

Acara ini diadakan dari 13 hingga 16 Disember dan sekali gus menggulung tirai musim pencak silat tahun ini.

Sumber : BERITA Mediacorp/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan