Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Kejayaan ratu skuasy Nicol David diabadikan dalam biopik

Selaku bintang sukan tersohor Malaysia, kisah Nicol David akan difilemkan dalam satu biopik berjudul "I am Nicol David."

Anggaran Waktu Membaca:
Kejayaan ratu skuasy Nicol David diabadikan dalam biopik

(Gambar: Agensi berita)

Diterbitkan : 10 Jun 2021 02:39PM Dikemas Kini : 10 Jun 2021 02:40PM

KUALA LUMPUR: Selaku bintang sukan tersohor Malaysia, kisah Nicol David akan difilemkan dalam satu biopik berjudul "I am Nicol David."

Juara dunia lapan kali itu membuat pengumuman tersebut di laman media sosialnya pada Isnin malam (7 Jun) yang menjadikan pengikutnya teruja.

"Saya selalu mengimpikan satu hari nanti untuk menceritakan kisah saya dan mampu memberi inspirasi kepada setiap orang untuk bekerja keras mencapai apa yang mereka mahukan dan sentiasa mencabar diri sendiri untuk mencapai kejayaan yang lebih besar.

"Saya sungguh bertuah saya berpeluang bekerjasama dengan ACE Pictures yang berkongsi perasaan ini dan saya tidak sabar-sabar untuk memulakannya!

"Ia satu perjalanan yang panjang dan saya teruja untuk mengharapkan sokongan anda dalam melaluinya," katanya yang kini berusia 37 tahun dalam satu catatan di laman Facebook beliau.

Ditanya siapa yang akan memegang watak sebagai Nicol, beliau menjawab: "Bukan saya! Orang lain akan berlakon dalam filem itu."

Nicol turut memaklumkan bahawa pemilihan pelakon akan dilakukan di seluruh negara oleh ACE Pictures.

Difahamkan watak jurulatih Nicol, Liz Irving akan dilakonkan oleh aktres Hollywood yang namanya masih dirahsiakan pihak produksi.

Lakon layarnya pula akan dipertanggungjawabkan kepada dua penulis skrip di Malaysia dan Amerika Syarikat.

Memegang rekod nombor satu selama 108 bulan berturut-turut dan kedudukan 10 teratas selama 151 bulan, Nicol memenangi 81 gelaran Juara Jelajah Dunia Persatuan Skuasy Profesional (PSA) dalam kerjaya profesionalnya selama hampir 20 tahun.

Anak kelahiran Pulau Pinang itu adalah atlit Sukan Asia paling berjaya dengan meraih tujuh pingat emas secara keseluruhannya.

Beliau juga dimahkotakan sebagai Atlit Terunggul Sepanjang Zaman Sukan Dunia pada Februari tahun ini.

Sumber : Agensi berita/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan