Images
  • Schooling
    Joseph Schooling setelah menang acara 100 meter gaya bebas di Sukan SEA, KL. (AFP/Manan Vatsyayana)

'Kejar impian', nasihat Joseph Schooling kepada Benjamin Davis

SINGAPURA: Pemenang pingat emas Olimpik Joseph Schooling menasihati pemain bola sepak Fulham, Benjamin Davis supaya "mengejar impiannya ... dan lakukan apa yang perlu beliau lakukan" selepas permohonan remaja itu untuk menangguhkan Perkhidmatan Negara (NS) ditolak oleh Kementerian Pertahanan.

Bercakap di luar Anugerah Sukan Singapura di Marina Bay Sands di mana beliau dinobatkan sebagai Olahragawan Terbaik untuk tahun kelima berturut-turut, Encik Schooling melahirkan rasa 'empati' terhadap Benjamin.

"Ini pasti situasi sukar buatnya. Nasihat saya kepada beliau adalah, kejar impiannya, ikut kata hati dan lakukan apa yang perlu," kata perenang itu.

"Saya dari sukan yang berbeza, situasi berbeza. Saya tidak boleh nasihatkan beliau apa yang perlu dilakukan. Yang jelas beliau dan ibu bapanya perlu buat keputusan, apa rancangan terbaik untuknya dan bergerak dari situ."

Encik Schooling, 23 tahun, ialah seorang daripada tiga atlit yang dibenarkan menangguhkan NS untuk jangka panjang sejak 15 tahun lalu.

Dalam kenyataannya pada Sabtu, MINDEF menolak permohonan Benjamin dan menyatakan penangguhan hanya dibenarkan bagi mereka yang mewakili Singapura dalam pertandingan antarabangsa seperti Sukan Olimpik dan berpotensi membawa pulang pingat untuk Singapura.

Ditanya pula tentang pengalamannya memohon penangguhan NS, Encik Schooling berkata ia "sukar" bukan sahaja untuk dirinya, tetapi juga untuk ibu bapanya.

"Saya bernasib baik mendapat bantuan MCCY (Kementerian Masyarakat, Kebudayaan, dan Belia), MINDEF dan SSA (Persatuan Renang Singapura). Akhirnya saya mencapai tujuan saya, jadi saya amat beruntung," kata beliau.

Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) menyokong permohonan Benjamin untuk menangguhkan NS, sambil menyatakan pada Selasa bahawa kes pemain tengah itu perlu dipertimbangkan secara serius.

Namun pada Rabu pula, MINDEF mendakwa bahawa pemain 17 tahun itu tidak berhasrat untuk kembali melaksanakan tanggungjawab NS, dan bapanya Harvey Davis mengaku secara terbuka beliau mementingkan masa depan anaknya dan bukan kepentingan Singapura.

Encik Davis menyangkal dakwaan itu dan berkata bahawa beliau sudah menegaskan bahawa "Ben perlu melaksanakan NS hanya persoalannya adalah bila".


LAPORAN BERKAITAN:

- CNA/TQ/tq

Top