Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Kebanyakan firma Jepun tidak setuju Olimpik Tokyo diteruskan pada Julai: Tinjauan Reuters

Hampir dua pertiga firma jepun menentang Sukan Olimpik Tokyo diadakan seperti yang dirancang, menurut dapatan tinjauan bulanan Reuters.

Anggaran Waktu Membaca:
Kebanyakan firma Jepun tidak setuju Olimpik Tokyo diteruskan pada Julai: Tinjauan Reuters

(Gambar: REUTERS/Issei Kato/File Photo)

Diterbitkan : 18 Feb 2021 10:21AM Dikemas Kini : 18 Feb 2021 10:22AM

TOKYO: Hampir dua pertiga firma jepun menentang Sukan Olimpik Tokyo diadakan seperti yang dirancang, menurut dapatan tinjauan bulanan Reuters.

Ini berbeza daripada dapatan tinjauan sebelumnya yang menunjukkan syarikat-syarikat bersetuju acara itu diteruskan di tengah-tengah pandemik COVID-19.

Tinjauan Reuters itu dijalankan sedang Ketua Olimpik Tokyo 2020, Yoshiro Mori meletak jawatan berhubung komen-komen seksis yang mengurangkan lagi keyakinan terhadap keupayaan pihak penganjur untuk memenuhi ikrar mengadakan acara tersebut dalam sekitaran selamat.

Tinjauan Korporat itu mendapati 36 peratus firma Jepun menggesa agar acara sukan itu ditangguhkan manakala 29 peratus menuntut agar ia dibatalkan. Selebihnya 35 peratus mahu sukan Olimpik Tokyo itu diteruskan.

Dapatan tinjauan itu sejajar dengan tinjauan pendapat awam baru-baru ini, termasuk satu yang dijalankan oleh akhbar Yomiuri pada minggu lalu yang menunjukkan bahawa kebanyakan warga Jepun menentang acara Olimpik itu diteruskan pada musim panas ini disebabkan pandemik.

Sukan Olimpik Tokyo ditangguhkan tahun lalu akibat pandemik dan dijadualkan semula pada 23 Julai tahun ini.

"Jika Olimpik boleh ditangguhkan lagi setahun, kita dapat melihat vaksin tersedia dengan lebih meluas," menjadikannya lebih selamat untuk menganjurkan acara tersebut, menurut seorang pengurus pembuat mesin elektrik dalam satu tinjauan.

"Tiada sesiapa mahu acara itu dianjurkan secara terpaksa," tulis seorang pengurus syarikat pengangkutan.

Sekiranya Olimpik diteruskan pada musim panas ini, hampir separuh syarikat menyeru agar jumlah penonton disekat dan 43 peratus meminta agar tiada penonton dibenarkan, menurut dapatan tinjauan yang dijalankan antara 2 dengan 12 Februari itu.

Sedang enam peratus responden mahu jumlah acara sukan Olimpik dikurangkan, hanya tiga peratus mahu ia diteruskan seperti yang dijadualkan, menurut dapatan Tinjauan Korporat itu.

Ditanya sejauh mana kesan Olimpik Tokyo ke atas ekonomi Jepun, 88 peratus syarikat menyatakan mereka menjangkakan kesannya terhad atau tidak banyak.

Sementara enam peratus menganggap acara itu akan memburukkan ekonomi, hanya lima peratus meramalkan rangsangan besar bagi ekonomi.

"Menimbangkan kesannya ke atas ekonomi, pembatalan acara itu akan memburukkan ekonomi," tulis seorang pengurus syarikat penghasil kimia.

Tinjauan Korporat itu, yang dijalankan untuk Reuters oleh Nikkei Research, meninjau 482 syarikat korporat bukan kewangan besar dan sederhana dengan syarat identiti mereka tidak didedahkan supaya mereka bebas berkongsi pandangan.

Para pengurus daripada sekitar 220 firma memberikan respons mereka.

Tinjauan korporat sebelum ini dijalankan antara 26 Oktober dengan 4 November, menunjukkan 68 peratus responden mahu acara sukan itu diteruskan manakala tiga suku yang lain berasa jumlah penonton perlu dikurangkan jika acara itu diteruskan. 

Sumber : Reuters/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan