Images
  • asian cup football opening
    Acara pembukaan Bola Sepak Piala Asia 2019 disambut meriah. (Gambar: AFP)

Kalendar Sukan 2019 dijangka lebih hebat; rekod baru jadi buruan

BERITAmediacorp: 2019 dijangka akan menjanjikan kalendar sukan yang lebih hebat dan mendebarkan selain diwarnai dengan detik-detik bersejarah dan penciptaan rekod-rekod baru.

Dengan beberapa acara berprestij bakal dianjurkan di peringkat antarabangsa pada tahun ini, kita boleh menjangkakan kejutan dan pencapaian luar biasa daripada pasukan-pasukan dan atlit-atlit yang menjadi idola kita.

Sebilangan personaliti sukan juga dijangka mencatat prestasi cemerlang yang mungkin akan menggemparkan dunia sukan masing-masing.

Berikut antara ‘kejutan’ yang boleh anda jangkakan tahun ini:

Tiger kembali mengaum, buru kejuaraan Grand Slam ke-15

Prestasi yang diperlihatkan oleh Tiger Woods pada tahun lalu sungguh menakjubkan.

Meskipun bintang golf itu memulakan 2018 di tangga ke-656 tetapi beliau berjaya melompat jauh sehingga menduduki tempat ke-13 dalam senarai pemain golf profesional pada akhir musim tersebut.

Reaksi Tiger Woods selepas memenangi Jelajah PGA di Kelab Golf East Lake. (Gambar: TODAY Sports via REUTERS)

Beliau turut mencatat prestasi cemerlang sepanjang tahun lalu termasuk meraih kemenangan pertamanya di acara Jelajah PGA dalam tempoh lima tahun selepas menjuarai Tour Championships di East Lake, Arizona pada bulan September.

Kemenangan ke-80 dalam kerjayanya sebagai seorang pemain golf profesional turut meyakinkan para peminat dan orang ramai bahawa bekas pemain nombor satu dunia dari Amerika Syarikat itu mampu bangkit semula setelah bertahun-tahun dihantui masalah kecederaan tulang belakang. 

Kurang lapan bulan selepas menjalani pembedahan yang keempat, Woods 43 tahun, kembali beraksi di Hero World Challenge 2017 dan bekerja keras untuk mengukuhkan kedudukannya dalam ranking 20 pemain terbaik dunia.

Yang menjadi tanda tanya dalam kalangan peminat sukan tersebut adalah: Mampukah Tiger Woods terus memperlihatkan keunggulannya,  sekaligus merangkul gelaran Grand Slam ke-15 tahun ini?

Hamilton kian yakin saingi rekod Schumacher

Setakat ini, rekod yang dipegang oleh Michael Schumacher - iaitu sebanyak 91 kemenangan dalam kerjayanya sebagai seorang pelumba kereta Formula One (F1) - masih bertahan.


Lewis Hamilton di Grand Prix Abu Dhabi. (Gambar: Ahmed Jadallah/REUTERS)

Namun, dengan purata 10 kemenangan setiap tahun sepanjang tempoh lima musim lalu, Lewis Hamilton yang sudahpun meraih 73 kejuaraan sejauh ini, dilihat ramai sebagai pelumba yang bukan saja berpotensi untuk menyaingi malah memecahkan rekod tersebut.

Jika sebelum ini, pelumba dari Britain itu sering mengatakan bahawa rekod itu “bukan sasaran utamanya”, namun selepas mempamerkan prestasi yang luar biasa pada hujung 2018, Hamilton kini menaruh harapan agar beliau “dapat menyaingi (rekod itu)” ketika ditanya BBC.

Bagi pelumba terbaik 2018 itu, kejuaraan dunia yang keenam pada tahun ini akan meletakkan beliau hanya satu kejuaraan di belakang pelumba legenda Ferrari itu yang memiliki tujuh gelaran juara dunia.

Pada masa yang sama, pasukan Mercedes turut mengintai kemenangan keenam berturut-turut sebagai pasukan terbaik, sekaligus mengatasi rekod Ferrari yang memenangi kejuaraan tersebut sebanyak lima kali dari 2000 hingga 2004.

Generasi baru pemain tenis tunjuk taring

Dari 2005 sehingga hari ini, hanya dua daripada 55 kejuaraan Grand Slam dimenangi oleh pemain tenis yang bukan dalam kalangan “Big Five” iaitu Roger Federer, Rafael Nadal, Novak Djokovic, Andy Murray dan Stan Wawrinka.

Ini menunjukkan bahawa sukan tersebut masih lagi didominasi oleh sekumpulan pemain ‘elit’ itu. Namun, 2018 membawa harapan kepada pemain generasi baru dengan kemunculan pemain-pemain muda yang berupaya mencabar pemain-pemain veteran seperti Naomi Osaka.


Naomi Osaka mengalahkan Serena Williams di US Open 2018. (Gambar: Robert Deutsch/USA TODAY Sports via REUTERS)

Pemain yang baru berusia 21 tahun itu melonjak ke kedudukan kelima dari tangga ke-28 dalam senarai pemain wanita musim lalu. Sepanjang tempoh tersebut, beliau turut membuat penampilan sulung di perlawanan akhir Kejuaraan Terbuka Amerika yang dimenanginys setelah menewaskan pemain veteran Serena Williams.

Selain beliau, Alexander Zverev juga berjaya menewaskan Novak Djokovic di peringkat akhir ATP dan Karen Khachanov pula menjulang gelaran Paris Masters pada November lalu.

Oleh itu, para peminat tenis boleh menjangkakan musim yang lebih menarik tahun ini dengan kemunculan pemain-pemain generasi baru.

Giliran Ireland julang Piala Dunia Ragbi?

Buat julung-julung kalinya, Piala Dunia Ragbi akan dianjurkan di Asia dengan Jepun sebagai tuan rumah bagi temasya yang berlangsung setiap empat tahun itu.

20 pasukan akan berentap di Yokohama dari 20 September hingga 2 November ini, masing-masing menaruh harapan dapat menjulang Trofi Webb Eliss.

Sepanjang lapan tahun yang lalu, piala tersebut kekal dalam genggaman New Zealand tetapi tahun ini, ia mungkin ‘berhijrah’ ke tangan pasukan lain.


Ireland menewaskan New Zealand November lalu. (Gambar: Clodagh Kilcoyne/REUTERS)

Pasukan Ireland berjaya menundukkan All Blacks pada November lalu dengan mencatat kemenangan 16-9 ke atas juara dunia tersebut di Stadium Aviva di Dublin.

Selain pasukan bimbingan Jurulatih Ragbi Terbaik 2018 itu, Wales, Afrika Selatan dan England juga dijangka akan merebut piala tersebut dari New Zealand kelak.

Namun, masih terdapat beberapa kejuaraan sebelum itu, yang pasti akan menguji prestasi bahkan boleh menjejas persembahan pasukan-pasukan tersebut di Jepun nanti, termasuk Piala Six Nations bulan depan.

Doha elak panas, anjur olahraga tengah malam

Bagi mengelak terik mentari, kesemua sesi akan berlangsung pada sebelah petang dan mungkin sehingga malam. Maraton dan acara heptatlon serta decatlon pula dijadual bermula pada tengah malam.

Demikian antara perubahan menarik yang bakal disaksikan di Kejohanan Olahraga Dunia IAAF ke-17 di Doha dari 27 September hingga 6 Oktober.

Meskipun bintang balapan Usain Bolt tidak lagi bertanding, acara dwitahun itu tetap menjanjikan aksi hebat yang dijangka akan memukau para peminat.

Bagi acara 100 meter wanita, ramai pasti akan menumpukan perhatian kepada pelari pecut Britain, Dina Asher Smith, 23 tahun yang menunjukkan prestasi hebat pada 2018 – tiga pingat emas di Kejohanan Eropah, rekod nasional bagi acara 100m dan 200m serta dua pingat Komanwel.


Dina Asher Smith memenangi pingat emas dalam acara 200 meter di Kejuaraan Eropah 2018. (Gambar: Kai Pfaffenbach/REUTERS)

Di luar balapan pula, Juan Miguel Echevarria berpotensi memecahkan rekod dunia Mike Powell iaitu 8.95 meter yang sudah bertahan sejak 1991. Atlit 19 tahun yang berasal dari Cuba itu mencapai jarak 8.28 meter tahun lalu dengan lompatan paling jauh dalam kerjayanya, mencecah 8.83 meter.

Apa jua acara pun, para atlit bakal memberikan yang terbaik di temasya tersebut dan menggunakannya sebagai kayu ukur menjelang Olimpik 2020 di Tokyo.

Schooling cuba perbaiki prestasi di Kejohanan Dunia FINA

Selepas meraih hanya satu pingat gangsa sebelum ini, jaguh renang Singapura Joseph Schooling sudah tentu mahu memperbaiki prestasinya di Kejohanan Dunia FINA yang bakal diadakan di Gwangju, Korea Selatan dari 12 hingga 28 Julai ini.


Joseph Schooling di Sukan Asia 2018. (Gambar: Martin Bureau/AFP)

Pada edisi 2017 yang diadakan di Duna Arena, Hungary, juara Olimpik dari Singapura ini gagal melayakkan diri ke peringkat separuh akhir gaya bebas 100 meter dan terpaksa berpuas hati dengan kedudukan kelima dan ketiga bagi kuak kupu-kupu 50 meter dan 100 meter.

Namun, selepas prestasi cemerlang di Sukan Asia tahun lalu dengan dua pingat emas bagi acara perseorangan dan dua lagi bagi acara berpasukan, perenang berusia 23 tahun itu kembali ke tanah air untuk berlatih bagi Kejohanan Dunia FINA dan Olimpik 2020 di Tokyo.

Bercakap dengan Mediacorp menerusi wawancara video tentang keputusannya untuk berlatih di Singapura, Schooling berkata:

“Para jurulatih di sini tahu apa yang diperlukan untuk meningkatkan prestasi saya … Saya yakin sepenuhnya dengan rancangan yang dilakarkan bagi saya sedang kami membuat persiapan bagi Kejohanan Dunia FINA dan Olimpik 2020.”

Roses dijangka ‘harumkan’ dunia bola jaring

Sukan bola jaring semakin popular dengan penyiar Liga Bola Jaring Super menyatakan bahawa jumlah penonton meningkat berlipat ganda tahun lalu berbanding 2016.


Sukan bola jaring kian bertambah popular. (Gambar: England Netball/Facebook)

Tahun ini, ia dirangsang pula oleh Piala Dunia Bola Jaring yang bakal berlangsung dari 12 hingga 21 Julai di Liverpool. Lebih menarik lagi, 75,000 tiket sudahpun dijual sejauh ini!

Pasukan England yang dikenali sebagai ‘Roses’ adalah antara pasukan yang dijangka akan menjulang piala tersebut lebih-lebih lagi selepas meraih pingat emas di Sukan Komanwel, sekaligus melompat ke tangga kedua dalam senarai ranking dunia. Roses bakal mencabar juara bertahan Australia yang turut memburu piala ke-12.

Singapura juga akan mengambil bahagian dalam temasya berprestij itu yang disertai 16 pasukan secara keselurahannya.

Pasukan Singapura menempah tempat di kejohanan tersebut selepas menduduki tangga kedua dalam Kejohanan Bola Jaring Asia M1 September lalu, di belakang Sri Lanka.

Esukan kian pesat berkembang 

Esukan berkembang pesat di peringkat antarabangsa pada tahun lalu. Jumlah penonton bagi pertandingan Esukan melonjak berlipat ganda dan nilai wang tunai yang dihadiahkan kepada para  pemenang turut menjulang dek sumbangan masyarakat Esport yang kian meningkat.


Di sekitar acara Esukan di Brazil. (Gambar: Sergio Moraes/REUTERS)

Kejohanan Dunia bagi League of Legends yang dikenali ramai sebagai LoL misalnya, diikuti dua kali ganda lebih ramai penonton global manakala Piala Dunia Dota 2 sekali lagi memecahkan rekod bagi nilai wang tunai paling tinggi yang dihadiahkan kepada para pemenang dan ia meningkat buat tujuh tahun berturut-turut, dengan hampir $25 juta hasil pendanaan awam.

Tahun ini, jumlah penonton dan hadiah wang tunai dijangka akan terus meningkat, sedang Esukan berkembang pesat dan menambat hati lebih ramai penaja privet serta sokongan badan-badan pemerintah.

Bola Sepak Piala Asia

Bola Sepak Piala Asia membuka tirainya semalam (5 Jan) dengan 24 pasukan terulung dari rantau ini memburu kejuaraan tersebut.

Kali ini, ia diadakan di Amiriah Arab Bersatu (UAE) dengan upacara perasmiannya disambut penuh gah di Abu Dhabi. Ia merupakan kali kedua UAE menjadi hos temasya tersebut dan pasukan tuan rumah berharap dapat memperbaiki kedudukan ketiga yang dikecapi ketika ia diadakan di Australia empat tahun lalu.


Pemain UAE menjaringkan gol hasil tendangan penalti. (Gambar: Karim Sahib/AFP)

Selain Abu Dhabi, perlawanan-perlawanan juga akan diadakan di Dubai, Al Ain dan Shajah  dan akan berlangsung sehingga 1 Februari ini. Sebanyak 36 perlawanan akan diadakan di lapan stadium di seluruh UAE.

Sukan SEA ke-30 di Filipina

56 sukan akan dipertandingkan di Sukan SEA yang bakal berlangsung di Filipina dari 30 November hingga 10 Disember ini.

Jumlah yang tersenarai dalam edisi ke-30 temasya tersebut merupakan yang terbesar sejauh ini, dengan 10 sukan bakal membuat kemunculan sulung termasuk sukan elektronik atau Esukan.

Eric Shauwn Crawford dari Filipina bertanding di acara lari pecut 100 meter di Singapura pada 2015. (Gambar: AFP)

Team Singapore menjangkakan persembahan yang lebih baik pada tahun ini selepas menduduki tangga keempat di Kuala Lumpur pada 2017 di belakang tuan rumah Malaysia, Thailand dan Vietnam, dengan merangkul sebanyak 58 pingat emas.

S’pura tuan rumah Siri Para Renang Dunia

Dari 10 hingga 12 Mei tahun ini, Singapura akan membuat penampilan sulung sebagai salah satu tuan rumah bagi Siri Para Renang Dunia.

Edisi ketiga temasya tersebut akan membuka tirainya di Melbourne bulan depan dengan Singapura sebagai tuan rumah keenam siri berkenaan.

Acara tersebut memberi peluang kepada sekitar 150 perenang dari rantau ini untuk bersaing dengan para perenang lain di peringkat antarabangsa di Pusat Akuatik OCBC.

Bandar-bandar lain yang turut menjadi tuan rumah adalah Indianapolis (Amerika Syarikat), Glasgow (Britain), Sao Paulo (Brazil), Lignano Sabbiadro (Itali) dan Berlin (Jerman).


Jaguh Singapura Yip Pin Xiu di Sukan Para Asia. (Gambar: Team Singapore)

Kemuncak siri dunia itu pula adalah Kejohanan Dunia Para Renang yang akan berlangsung di Kuching (Malaysia) dari 29 Julai hingga 4 Ogos.

Hampir 600 perenang dari 70 negara dijangka akan mengambil bahagian untuk mengharumkan nama tanah tumpah darah masing-masing, sedang mereka memanfaatkan kejohanan ini untuk mengukur prestasi masing-masing menjelang Sukan Paralimpik Tokyo yang bakal menyusul. 

- BERITAmediacorp/sm

Top