Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Joseph Schooling, Quah Zheng Wen akan jalani NS selepas selesai tempoh penangguhan

Perenang-perenang negara, Joseph Schooling dan Quah Zheng Wen, akan menjalani Perkhidmatan Negara (NS) selepas kedua-duanya selesai bertanding dalam Sukan Olimpik Tokyo. Demikian menurut Kementerian Pertahanan (MINDEF) pada Rabu (16 Sep). 

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 16 Sep 2021 04:55PM Dikemas Kini : 16 Sep 2021 09:27PM

SINGAPURA: Perenang-perenang negara, Joseph Schooling dan Quah Zheng Wen, akan menjalani Perkhidmatan Negara (NS) selepas kedua-duanya selesai bertanding dalam Sukan Olimpik Tokyo. Demikian menurut Kementerian Pertahanan (MINDEF) pada Rabu (16 Sep).

“Memandangkan tempoh penangguhan mereka sehingga 31 Ogos 2021 sudahpun berakhir, kedua-dua Encik Schooling dan Encik Quah perlu memenuhi tanggungjawab NS mereka seperti yang dipersetujui ketika mereka memohon tempoh penangguhan itu," menurut MINDEF dalam kenyataannya.

Kedua-dua atlit negara itu akan menjalani NS sebaik sahaja prosedur pendaftaran selesai dijalankan.

MINDEF menyatakan ia meluluskan penangguhan NS sepenuh masa "dengan memilih secara amat teliti" atlit luar biasa yang dinilai sebagai berpotensi memenangi pingat dalam pertandingan antarabangsa seperti Sukan Olimpik.

Para atlit perlu memberi sebab mengapa penangguhan diperlukan untuk mereka berlatih sepenuh masa. Setiap kes akan dinilai secara individu oleh MINDEF dengan rundingan bersama Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY).

Prestasi hambar para perenang di Sukan Olimpik Tokyo membangkitkan tanda tanya tentang penangguhan NS mereka terutama bagi Schooling, yang berikrar akan meneruskan kerjayanya dalam sukan renang selepas menduduki tempat terakhir dalam acara gaya kupu-kupu 100 meter (m).

Schooling, 26 tahun, sepatutnya mula menjalani NS pada 2014 manakala anggota sepasukannya, Quah, 24 tahun, pula pada 2015.

Kedua-dua perenang itu diberikan penangguhan untuk bertanding dalam Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil.

Menjelaskan tentang dasar penangguhan pada 2013, Menteri Pertahanan Ng Eng Hen berkata ibu bapa Schooling merayu untuk mendapatkan penangguhan bagi anak lelaki mereka dengan rancangan terperinci yang menggariskan jadual latihan serta sasaran atlit itu bagi Sukan Olimpik 2016.

“MCCY menyokong rayuan bagi penangguhan itu kerana ia menilainya berdasarkan pencapaian beliau yang lalu dalam pertandingan-pertandingan antarabangsa. Encik Schooling berpotensi mencatatkan prestasi cemerlang dalam Sukan Olimpik seterusnya," ujar menteri itu.

Dr Ng juga berkata Majlis Angkatan Bersenjata turut berpuas hati dengan rayuan yang memenuhi syarat-syarat penangguhan untuk olahragawan yang luar biasa.

Di temasya Sukan Olimpik Rio, Schooling merangkul pingat emas pertama Singapura setelah mengalahkan perenang hebat Michael Phelps dari Amerika Syarikat dalam acara gaya kupu-kupu 100m.

Sementara itu, Quah berjaya mara ke peringkat separuh akhir bagi kategori gaya kupu-kupu 100m dan 200m.

Penangguhan mereka kemudian dilanjutkan supaya mereka boleh berlatih dan bertanding dalam Sukan Olimpik Tokyo 2020, yang ditunda sehingga tahun ini dek pandemik COVID-19.

Schooling dan Quah gagal melayakkan diri ke peringkat separuh akhir bagi acara mereka.

Di luar Sukan Olimpik, Quah memenangi enam pingat emas dan dua perak di Sukan SEA 2019 di mana beliau dinamakan sebagai atlit lelaki paling berharga.

Schooling membawa pulang empat pingat emas dan dua perak dari pertandingan itu.

Sepanjang 15 tahun lalu, atlit sukan layar Maximillian Soh adalah satu-satunya atlit lain yang menerima penangguhan NS jangka panjang.

Sesetengah atlit Singapura turut bertanding dalam Sukan Olimpik Tokyo baru-baru ini tanpa menangguhkan NS sepenuh masa mereka.

Dalam kalangannya ialah atlit terjun cantik Jonathan Chan, 24 tahun, atlit sukan layar Ryan Lo, 24 tahun, serta para pemain badminton Loh Kean Yew, 24 tahun, dan Clarence Chew, 25 tahun.

Para atlit negara yang menjalani NS diberi masa cuti untuk berlatih atau bertanding, tertakluk kepada kelulusan oleh MINDEF dan MCCY serta mengambil kiri keperluan operasi ketenteraan. 

Sumber : Today/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan