Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Jose Mourinho mungkin dipecat Manchester United hujung minggu ini

Masa-masa sukar Jose Mourinho selaku pengurus Manchester United boleh sampai kemuncaknya dengan beliau mungkin dipecat seawal hujung minggu ini. Demikian lapor media tempatan Britain.

Anggaran Waktu Membaca:
Jose Mourinho mungkin dipecat Manchester United hujung minggu ini

Jose Mourinho. (Gambar: Reuters/ Toby Melville)

Diterbitkan : 06 Oct 2018 11:51PM Dikemas Kini : 06 Oct 2018 11:58PM

BRITAIN: Masa-masa sukar Jose Mourinho selaku pengurus Manchester United boleh sampai kemuncaknya dengan beliau mungkin dipecat seawal hujung minggu ini. Demikian lapor media tempatan Britain.

Ekoran prestasi kurang baik United dalam musim ini, kedudukan jurulatih berpengalaman itu di Old Trafford berulang kali dipersoalkan.

Mourinho berdepan dengan tekanan lebih berat selepas akhbar Daily Mirror melaporkan pada Jumaat (5 Okt) bahawa beliau akan dipecat, tidak kira keputusan perlawanan United melawan Newcastle dalam Liga Perdana hari ini (6 Okt).

United bergelut dalam kedudukan ke-10 dan minggu lalu tewas di tangan West Ham 1-3, satu permulaan yang paling teruk bagi pasukan terkemuka itu dalam tempoh hampir tiga dekad.

Menurut The Mirror, pasukan itu tidak lagi yakin dengan Mourinho, 55 tahun, dengan "sumber-sumber United" menyatakan bahawa kontraknya akan dibatalkan, tidak kira keputusan perlawanan United dengan Newcastle.

Dalam perlawanan menentang Valencia dalam Liga Juara-Juara, pasukan itu mencapai kedudukan seri tanpa menjaringkan sebarang gol - satu perlawanan di mana United bergelut untuk membuktikan kemampuannya - sekaligus bermakna Mourinho gagal menang dalam empat perlawanan berturut-turut buat pertama kali sepanjang kerjayanya.

"Ya, saya akui (ia tidak memuaskan)," kata Mourinho ketika ditanya tentang prestasi United dalam sidang media praperlawanan selepas kekalahan Man U. Mourinho juga sebelum ini dilaporkan beberapa kali bergaduh dengan Paul Pogba dalam musim ini.

Sidang itu, tidak seperti biasanya diadakan pada awal pagi dan hanya berlangsung selama lapan minit 29 saat. Namun, Mourinho menyatakan beliau yakin prestasi United akan menjadi semakin baik.

"Kami akan lakukan dengan lebih baik lagi. Saya yakin tentang itu," katanya.

Mourinho menjawab kritikan terhadapnya dengan menyatakan bahawa prestasi United sebelum ini lebih baik daripada yang dijangkakan selepas berada di kedudukan kedua dalam musim sebelum ini, 19 mata di belakang juara Manchester City, sambil menambah bahawa beliau sudah menjangkakan bahawa musim ini akan menjadi lebih mencabar.

"Saya rasa lawan kami yang lebih berpotensi akhirnya jatuh di kedudukan di bawah kami," katanya. "Itulah sebab ini satu musim yang luar biasa."

United sebelum ini disebut-sebut sebagai pasukan sangat stabil semasa dipimpin Alex Ferguson selama 26 tahun.

Namun, sekiranya Mourinho dipecat, ia akan bermakna bahawa United sudah dipimpin tiga pengurus berlainan dalam tempoh lima tahun, tempoh yang sama di mana kelab ini gagal meraih sebarang kemenangan dalam Liga Perdana atau Liga Juara-Juara Eropah.  

Sumber : AFP/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan