Images
  • iran footballer
    Gambar: Twitter

Jordan minta disiasat jantina penjaga gol pasukan wanita Iran

AMMAN: Jordan meminta Persekutuan Bola Sepak Asia (AFC) melancarkan siasatan bagi menentukan jantina penjaga gol pasukan bola sepak wanita Iran dengan Tehran menafikan wujud kesalahan.

Iran mengalahkan Jordan 4-2 menerusi tendangan penalti selepas seri tanpa jaringan pada 25 September untuk layak ke Piala Asia Wanita 2022 buat pertama kali dalam sejarah mereka.

Presiden Persatuan Bola Sepak Jordan, Putera Ali Bin Al-Hussein, menerusi Twitter pada Ahad lalu (14 Nov) berkata satu surat "memohon pemeriksaan pengesahan jantina" terhadap pemain Iran berkenaan sambil mendakwa penjaga gol itu adalah lelaki yang menyamar sebagai wanita.

Beliau menggambarkannya sebagai "isu yang sangat serius jika benar", dan meminta AFC "segera bertindak".

Namun pegawai yang bertanggungjawab memilih pemain Iran, Maryam Irandoost menolak dakwaan itu.

"Kakitangan perubatan secara berhati-hati memeriksa semua pemain dalam pasukan kebangsaan dalam aspek hormon untuk mengelak sebarang masalah berkaitan perkara ini. Jadi saya beritahu semua penyokong jangan bimbang," kata Cik Irandoost kepada laman berita sukan Varzesh3 pada Ahad.

Piala Asia Wanita 2022 dijadual bermula di India, Januari ini.

- AFP/SU/sm

Top