Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Jerman mampu pertahan Piala Dunia, kata Michael Owen

Bekas bintang bola sepak England, Michael Owen meramalkan bahawa Jerman mampu mempertahankan kejuaraan Piala Dunia FIFA 2018 yang bakal berlangsung di Rusia dari 14 Jun hingga 15 Julai depan.

Anggaran Waktu Membaca:
Jerman mampu pertahan Piala Dunia, kata Michael Owen

Michael Owen, bekas pemain England meramalkan bahawa pasukannya mampu ke peringkat suku akhir. (Gambar: REUTERS)

Diterbitkan : 15 Mar 2018 11:20PM Dikemas Kini : 15 Mar 2018 11:26PM

GENTNG HIGHLANDS: Bekas bintang bola sepak England, Michael Owen meramalkan bahawa Jerman mampu mempertahankan kejuaraan Piala Dunia FIFA 2018 yang bakal berlangsung di Rusia dari 14 Jun hingga 15 Julai depan.

Bekas bintang kelab Liverpool FC dan Manchester United itu berkata walaupun sukar menjangkakan pasukan yang bakal muncul juara, skuad bimbingan Joachim Low itu dilihat cukup mantap untuk memenangi trofi itu buat kali kelima.

“Sukar untuk meramalkan kerana banyak pasukan yang kuat seperti Brazil, Argentina dan Perancis. Tetapi saya memilih Jerman, ia sebuah pasukan yang kuat.

“Memiliki ramai pemain berbakat, muda dan juga berpengalaman, sudah tentu mereka menjadi pasukan pilihan,” katanya dalam satu temu bual menerusi video semasa pelancaran “Demam Bola Sepak Genting 2018” di sini hari ini.

Untuk rekod, Jeman memenangi kejuaraan berprestij itu sebanyak empat kali pada 1954, 1974, 1990 (ketika itu Jerman Barat) dan 2014, hanya kurang satu berbanding Brazil, yang memegang rekod kejuaraan paling banyak dengan lima gelaran. Itali juga memenangi Piala Dunia sebanyak empat kali.

Bekas penyerang Real Madrid berusia 38 tahun itu, juga meramalkan Belgium mampu mencipta kejutan pada kejohanan berkenaan. 

Ditanya mengenai peluang England, Owen yang menjadi penjaring kelima terbanyak dalam sejarah bola sepak England itu, berkata bahawa skuad Three Lions sekali lagi dilihat mampu mara ke peringkat suku akhir dalam saingan kali ini.

"England bernasib baik kerana mendapat undian lebih baik pada kejohanan ini (dalam Kumpulan G bersama-sama Belgium, Panama dan Tunisia). Mereka mampu melepasi saingan peringkat kumpulan dan pusingan kedua tanpa perlu berdepan pasukan kuat untuk ke suku akhir," katanya.

PAUL SCHOLES, ROBBIE FOWLER AKAN TEMUI PEMINAT MALAYSIA

Sementara itu,  Naib Presiden Promosi dan Hiburan Resorts World Genting Kevin Tann mengesahkan Owen bersama-sama dua bekas bintang England Paul Scholes dan Robbie Fowler dijangka menghiburkan peminat Malaysia semasa kempen “Demam Bola Sepak Genting” sempena Piala Dunia itu.

"Fowler pernah datang ke Malaysia sebelum ini, namun ia kali pertama buat Scholes. Kempen selama dua bulan ini, bermula sebulan sebelum Piala Dunia berlangsung, dijangka memberi 'kehangatan' kepada peminat tempatan,” katanya kepada pemberita selepas majls pelancaran kempen berkenaan.

Owen dijadual berinteraksi dengan tetamu di Resorts World Genting dari 14 hingga 16 Jun untuk majlis perasmian, manakal Scholes dan Fowler akan berada di resort berkenaan dari 13 hingga 15 Julai. 

Selain bertemu dengan legenda bola sepak berkenaan, ahli Genting Rewards Card (GRC) juga berpeluang memenangi 10 pakej pelancongan ke Rusia, termasuk tiket penerbangan ke Moscow, penginapan empat malam di hotel serta tiket menyaksikan majlis perasmian Piala Dunia dan sebuah kereta baru Toyota C-HR.

"Semasa kempen Piala Dunia yang lalu, kita berjaya mendaftarkan kira-kira 30,000 ahli baharu, dan kali ini kita berharap lebih ramai akan berbuat demikian,” katanya.

Sumber : Bernama/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan