Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Jepun bertegas 'tiada perubahan' pada Sukan Olimpik Tokyo susuli amaran perjalanan AS

Jepun bertegas 'tiada perubahan' pada Sukan Olimpik Tokyo susuli amaran perjalanan AS.

Anggaran Waktu Membaca:
Jepun bertegas 'tiada perubahan' pada Sukan Olimpik Tokyo susuli amaran perjalanan AS

43 lokasi dan jadual pertandingan disahkan ketika sesi Majlis Olimpik Antarabangsa (IOC). (Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 25 May 2021 10:55PM Dikemas Kini : 25 May 2021 10:57PM

TOKYO: Satu amaran perjalanan yang baru saja dikeluarkan oleh Amerika Syarikat tidak akan menjejas Sukan Olimpik Tokyo yang bakal diadakan semasa musim panas ini, tegas pemerintah Jepun dan penganjur temasya sukan tersebut pada Selasa (25 Mei).

Makluman Jabatan Negara Amerika Syarikat yang dikeluarkan pada Isnin (24 Mei) menggesa rakyat negara itu supaya mengelakkan perjalanan ke Jepun di mana sempadan-sempadan negara itu sudahpun ditutup kepada hampir kesemua warga asing.

Makluman itu turut menukil nasihat kesihatan pemerintah, serta "faktor-faktor tambahan seperti ketersediaan penerbangan komersial, sekatan terhadap kemasukan warga Amerika dan halangan untuk mendapatkan hasil ujian COVID-19 dalam masa tiga hari."

Makluman itu dikeluarkan kurang dua bulan sebelum upacara perasmian temasya sukan itu, yang terpaksa ditunda pada tahun lalu apabila pandemik COVID-19 terus menular ke seantero dunia.

Pemerintah Jepun berkata bahawa langkah terkini Amerika itu tidak akan menjejas kelangsungan temasya sukan itu.

"Kami difahamkan bahawa tiada perubahan pada pendirian Amerika Syarikat untuk menyokong usaha Jepun mengadakan Sukan Olimpik dan Sukan Paralimpik," jelas jurucakap pemerintah, Katsunobu Kato.

Beliau turut mendedahkan, Jepun sudah dimaklumkan bahawa keputusan itu "tidak berhubung kait" dengan rancangan delegasi Olimpik Amerika Syarikat.

Penganjur Sukan Olimpik Tokyo 2020 mengatakan bahawa ia akan terus "bekerja rapat bagi menjaga keselamatan dan penyertaan kesemua atlit dalam temasya sukan itu."

Jawatankuasa Sukan Olimpik dan Sukan Paralimpik Amerika Syarikat juga menyatakan bahawa mereka 'meyakini' langkah keselamatan dan ujian kerap yang bakal dijalankan untuk para atlit dan kakitangan dan ini akan "membolehkan kontinjen atlit Amerika Syarikat bertanding dengan selamat semasa musim panas ini".  

Sumber : AFP/IA/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan