Images
  • thiago alcantra liverpool
    (Gambar: AFP)

Jaringan Thiago, Salah bantu Liverpool lentur Porto 2-0

ENGLAND: Pengurus Liverpool Jurgen Klopp kagum dengan gol rembatan kencang Thiago Alcantara, namun beliau merasakan Liverpool agak bernasib baik kerana dapat menewaskan Porto 2-0 dalam Liga Juara-Juara Eropah (UCL).

Klopp merombak skuad kendaliannya di Anfield pagi tadi (25 Nov), dengan Manchester United sudahpun mengesahkan kemaraannya ke pusingan 16 pasukan terakhir sebagai pendahulu Kumpulan B.

"Kami mempunyai peluang yang lebih besar dalam perlawanan ini. Ia luar biasa.

"Saya pernah menyaksikannya dalam latihan, saya tahu dia mempunyai teknik untuk melakukannya tetapi bukan selalu deras seperti itu. Kami memerlukan beberapa detik, sedikit tuah dan pihak lawan mempunyai peluang besar dengan serangan balas mereka," kata Klopp.

Klopp merehatkan beberapa pemain utama memandangkan kedudukan mereka ke pusingan 16 pasukan terakhir sudah terjamin dan pengurus Liverpool itu menjangkakan aksi yang lebih mantap apabila mereka berdepan Southampton dalam aksi Liga Perdana England (EPL) pada hujung minggu ini.

"Kami boleh tewas malam ini. Ada beberapa detik nasib menyebelahi kami. Ada masanya kami tidak bermain dengan baik tidak seperti saya jangkakan malam ini.

"Saya tidak menjangkakan kami diberi tekanan hebat tetapi permainan kami mula berkembang dan itulah yang menggembirakan saya. Kita perlu beraksi dengan lebih baik ketika menentang Southampton kerana mereka ibarat sebuah mesin," katanya.

Liverpool memenangi kelima-lima perlawanan UCL musim ini, manakala Porto kekal di tempat kedua untuk merebut satu lagi tempat ke pusingan kalah mati menjelang perlawanan terakhir peringkat kumpulan yang boleh menentukan kedudukan tiga lagi pasukan termasuk Atletico Madrid dalam tempoh dua minggu akan datang.

AC Milan akan menyambut kunjungan Liverpool ke San Siro selepas ini tatkala Atletico hanya satu mata di belakang Porto selepas kelab Serie A itu menewaskan juara LaLiga tersebut 1-0.

- Agensi berita/HA/ha

Top