Images
  • joseph and quah
    (Gambar: Facebook/Edwin Tong)

Jaguh renang Olimpik Joseph Schooling, Quah Zheng Wen dibenarkan tangguh lagi NS

SINGAPURA: Kementerian Pertahanan (MINDEF) meluluskan permohonan jaguh renang Olimpik Joseph Schooling dan Quah Zheng Wen untuk melanjutkan tempoh penangguhan Perkhidmatan Negara (NS) untuk menjalani latihan dan bertanding di Sukan Olimpik Tokyo yang ditunda sehingga 2021 disebabkan oleh pandemik COVID-19, menurut MINDEF dalam satu kenyataan media pada Selasa (11 Ogos).

"Mereka juga komited untuk menumpukan fokus kepada persiapan Sukan Olimpik, supaya dapat mencapai prestasi terbaik dan tidak akan melakukan kegiatan tambahan seperti penajaan komersil," menurut MINDEF.

"Jika Sukan Olimpik dibatalkan, mereka dijadual menjalani Perkhidmatan Negara."

Schooling dan Quah masing-masing akan berusia 26 dan 25 tahun pada 2021.

Menurut MINDEF, Majlis Angkatan Bersenjata sudah meluluskan permohonan mereka untuk melanjutkan tempoh penangguhan itu, sambil menambah bahawa permohonan itu disokong oleh Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY).

'Kedua-duanya sudah melayakkan diri untuk bertanding dalam Sukan Olimpik akan datang - Schooling bagi acara kupu-kupu 100 meter dan Quah bagi acara kupu-kupu 100 meter dan kuak lentang," menurut MINDEF.

"Schooling dan Quah memenuhi kriteria untuk melanjutkan tempoh penangguhan NS."

MINDEF juga menegaskan semula kriteria bagi meluluskan penangguhan NS untuk para atlit, sambil menyatakan ia diberikan kepada "atlit luar biasa yang dinilai sebagai berpotensi memenangi pingat bagi Singapura dalam pertandingan bertaraf antarabangsa yang tinggi seperti Sukan Olimpik".

Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia Edwin Tong berkata dalam satu catatan Facebook pada Selasa bahawa beliau "gembira" permohonan para perenang itu diluluskan.

"Pemerintah memberikan sokongan sepenuhnya kepada latihan dan persiapan mereka dalam usaha meraih kejayaan di Olimpik," katanya.

"Saya mengharapkan yang terbaik bagi mereka dalam menjalankan usaha masing-masing dan saya berharap mereka akan terus menjadi inspirasi untuk mengharumkan nama negara dalam kalangan rakyat Singapura!"

- CNA/HA/ha

Top