Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

ISTAF & ASTAF gesa kerabat takraw patuhi perintah COVID-19; henti, bataskan semua bentuk kegiatan

Di tengah-tengah pandemik COVID-19 yang masih meruncing, ISTAF dan ASTAF menggesa semua anggota kerabat supaya mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh WHO untuk menghadkan atau menghentikan sama sekali semua kegiatan yang berpotensi merebakkan penularan virus korona itu. 

Anggaran Waktu Membaca:
ISTAF & ASTAF gesa kerabat takraw patuhi perintah COVID-19; henti, bataskan semua bentuk kegiatan

Pemain Singapura Safiee Muhammad A'fif (jersi merah) sedang beraksi semasa Sukan Asia 2018. (Gambar: SportSG)

SINGAPURA: Di tengah-tengah pandemik COVID-19 yang masih meruncing, Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF) dan Persekutuan Sepaktakraw Asia (ASTAF) menggesa semua anggota kerabat supaya mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk menghadkan atau menghentikan sama sekali semua kegiatan yang berpotensi merebakkan penularan virus korona itu.

Selain mematuhi peraturan WHO, ISTAF juga meminta setiap anggota pasukan dan pegawai sepak takraw supaya jangan melanggar undang-undang mengenai perintah berkurung atau memburukkan lagi kes kuarantin di negara masing-masing.

Dalam satu kenyataan media oleh ISTAF pada 4 April lalu, persekutuan itu menyatakan ia berharap tiada berita tentang pemain mahupun pegawai sepak takraw di bawah naungannya diberkas dan didakwa di mahkamah angkara mencabuli perintah sekatan serta melanggar undang-undang berhubung COVID-19. Ia menambah ISTAF dan ASTAF menjaga kebajikan semua pihak berkepentingan sepak takraw dengan menuruti nasihat untuk menghentikan daripada menjalankan atau mengadakan sebarang jenis kegiatan sepak takraw semasa pandemik COVID-19.

Lantaran itu, ISTAF mengingatkan semua anggotanya supaya memastikan semua pegawai, pemain, jurulatih, pengadil dan relawan yang aktif terus duduk di rumah dan tidak melanggar mana-mana undang-undang.

Memandangkan tempoh perintah berkurung bukanlah masa yang singkat dan belum diketahui bila ia akan ditarik balik, ISTAF dengan kerjasama ASTAF mencadangkan kepada setiap anggota dua peringkat kursus bimbingan online iaitu Online untuk Kursus Asas serta Online bagi Rantau ASTAF dan Bimbingan ISTAF Tahap 1.

ISTAF memberi pentauliahan kepada Kursus Bimbingan Asas dan akan menyediakan kandungan tetapi menggalakkan setiap persekutuan untuk meneruskan serta menjalankan Klinik dan Bengkel Latihan Sepak Takraw Online.

Setelah selesai Kursus Bimbingan Asas, setiap persekutuan boleh mengeluarkan Sijil Tamat Kursus dengan pengiktirafan ISTAF.

Mengenai Latihan Rantau Online ASTAF Tahap 1 dan Latihan Online ISTAF Tahap 1, ISTAF dengan kerjasama ASTAF akan memperuntukkan lima slot bagi setiap persekutuan.

Sebagai kriteria, menurut kenyataan itu lagi, setiap persekutuan memilih jurulatih yang boleh berbahasa Inggeris dan mempunyai pengalaman berdedikasi selama tiga tahun di peringkat kebangsaan negara masing-masing.

Pendaftaran online untuk kursus Latihan Bimbingan Online ASTAF dan ISTAF Tahap 1, boleh dibuat beberapa minggu dari sekarang. 

Sumber : BERITA Mediacorp/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan