Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

IOC beri jaminan Sukan Olimpik Tokyo selamat dianjurkan

Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) pada Rabu (19 Mei) memberi jaminan kepada Jepun bahawa Sukan Olimpik Tokyo selamat bagi para atlit serta masyarakat tuan rumah.

Anggaran Waktu Membaca:
IOC beri jaminan Sukan Olimpik Tokyo selamat dianjurkan

(Gambar: REUTERS/Issei Kato)

Diterbitkan : 19 May 2021 06:52PM Dikemas Kini : 19 May 2021 06:54PM

TOKYO: Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) pada Rabu (19 Mei) memberi jaminan kepada Jepun bahawa Sukan Olimpik Tokyo selamat bagi para atlit serta masyarakat tuan rumah di tengah-tengah bantahan yang semakin meningkat terhadap penganjuran acara itu dan kebimbangan ia akan menyebabkan lonjakan dalam kes COVID-19.

Bercakap di Tokyo bersama para pegawai kanan Jepun yang lain, ketua IOC Thomas Bach berkata lebih daripada 80 peratus penduduk Kampung Olimpik akan diberi vaksin atau dijadualkan menerima vaksin menjelang Sukan Olimpik yang bermula pada 23 Julai.

Beliau menolak gesaan yang semakin meningkat agar acara sukan itu - yang sudah pun ditunda sekali kerana pandemik - dibatalkan, sambil berkata acara-acara sukan yang lain membuktikan bahawa Sukan Olimpik boleh diteruskan dengan langkah-langkah pengurusan selamat COVID-19 yang kukuh.

Encik Bach mengeluarkan komen itu sedang Jepun terus berusaha mengatasi gelombang keempat jangkitan COVID-19 dan pelaksanaan program vaksinasi yang perlahan menjejas keyakinan orang awam bahawa acara Sukan Olimpik harus diteruskan.

"Bersama dengan rakan kongsi dan teman-teman kami dari Jepun, saya ingin menekankan semula komitmen penuh IOC untuk menganjurkan sukan Olimpik dan Paralimpik yang selamat bagi semua," kata Encik Bach.

"Untuk mencapainya, kami memberi tumpuan sepenuhnya kepada penganjuran Sukan Olimpik."

Kurang daripada 30 peratus pegawai perubatan di bandar-bandar utama Jepun sudah menerima vaksin COVID-19 dengan tinggal hanya 65 hari sebelum acara sukan itu bermula, lapor akhbar Nikkei pada Rabu.

Perangkaan kabinet yang dikeluarkan pada minggu ini menunjukkan bahawa hanya tiga bulan sejak pelancaran program vaksinasi di Jepun, kurang daripada 40 peratus pekerja perubatannya sudah menerima vaksin penuh.

Masalah itu lebih ketara di Tokyo yang bakal menjadi tuan rumah Sukan Olimpik, serta bandar-bandar lain yang mempunyai ramai penduduk yang mana kadar pekerja perubatan yang sudah divaksin sepenuhnya adalah kurang daripada 30 peratus, lapor Nikkei.

Kebanyakan daripada bekalan vaksin tertumpu di hospital-hospital lebih besar dan terdapat masalah dalam sistem penempahan untuk kakitangan perubatan, menurut akhbar itu.

Kadar vaksinasi yang perlahan bagi para doktor dan jururawat merupakan antara rungutan yang diutarakan oleh kumpulan perubatan yang tampil membantah penganjuran acara Sukan Olimpik.

Encik Bach berikrar untuk meringankan beban sistem perubatan tempatan semasa acara tersebut.

Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan diminta untuk menguruskan kakitangan perubatan mereka sendiri jika boleh, katanya.

Sumber : Reuters/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan