Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Inilah Alireza Beiranvand, bekas gelandangan yang tundukkan Ronaldo

Inilah kisah Alireza Beiranvand, pemain berusia 25 tahun yang berjaya mematahkan serangan penentu oleh Ronaldo dan sekaligus menyelamatkan maruah negara Iran.

Anggaran Waktu Membaca:
Inilah Alireza Beiranvand, bekas gelandangan yang tundukkan Ronaldo

(Gambar: Getty Images)

Diterbitkan : 27 Jun 2018 11:32AM Dikemas Kini : 27 Jun 2018 12:47PM

AGENSI: Para peminat bola sepak yang menonton perlawanan akhir kumpulan B Piala Dunia Rusia 2018 pasti tidak terlepas aksi penjaga gawang pasukan Iran, Alireza Beiranvand menepis sepakan penalti pemain sensasi pasukan Portugal, Cristiano Ronaldo.

Namun, siapakah sebenarnya Alireza Beiranvand, pemain berusia 25 tahun yang berjaya mematahkan serangan penentu oleh Ronaldo dan sekaligus menyelamatkan maruah negara Iran?

Beiranvand mendapat perhatian media apabila seorang wartawan sukan di Sepanyol, Mootaz Chehade menyatakan bahawa penjaga gol tersebut pernah menjadi seorang gelandangan.

Chehade pernah menulis tentang perjalanan hidup Beiranvand yang terpaksa melalui pelbagai cabaran untuk menjadi seorang pemain bola sepak antarabangsa dan terkenal.

Menerusi catatan Twitter, Chehade berkata bahawa Beiranvand pernah melarikan diri dari rumah semasa kanak-kanak kerana impiannya menjadi pemain bola sepak dihalang oleh keluarga.

Sementara itu, portal The Guardian melaporkan bahawa Beiranvand membesar tanpa tempat tinggal tetap dan memilih untuk berteduh di bahagian luar stadium pasukannya menjalani latihan.

Bagi menyara hidupnya, Beiranvand bekerja di kilang pakaian, menjadi tukang cuci kereta dan pembersih jalan sebelum berjaya mencapai impiannya.

"Saya tidur di depan pintu stadium dan ketika saya bangun pada waktu pagi, ada duit syiling berhampiran kerana mereka sangka saya pengemis," tambahnya.

Minatnya pada sukan bola sepak mula disemai sejak kecil di mana pada awalnya Beiranvand bermula di posisi penyerang.

Perubahan posisi berlaku selepas dia menggantikan penjaga gol pasukan yang mengalami kecederaan.

Pada Selasa, Iran ketinggalan 0-1 apabila Portugal dihadiahkan tendangan penalti dalam perlawanan yang menentukan hidup mati pasukan itu.

Sepakan Ronaldo ke kanan gol ditepis Beiranvand yang kemudiannya menerkam dan mendakap bola itu ke dadanya.

Perlawanan Iran-Portugal berakhir dengan keputusan seri 1-1.

Sumber : Agensi berita/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan