Images
  • epl ball generic
    (Gambar hiasan: Reuters)

Individu dari S'pura dilapor ejek, lempar kata kesat terhadap pemain bola sepak EPL

LONDON: Seorang individu yang berpangkalan di Singapura menghantar kiriman mesej online yang berunsur 'ancaman dan kata-kata makian' terhadap pemain Brighton & Hove Albion, Neal Maupay, menurut Liga Perdana England (EPL) pada Khamis (13 Ogos).

Melalui kenyataan di lamannya, EPL menyatakan para penyiasat sudah menjejaki lokasi individu yang bertanggungjawab atas 'penderaan online yang serius' terhadap Maupay dari Singapura.

'Aduan polis' sudah dibuat secara rasmi.

Mesej yang berniat untuk 'mengancam dan melemparkan kata-kata kesat' yang diterima oleh pemain berkenaan sudah dilaporkan kepada EPL melalui sistem laporan penderaan online, menurut EPL sambil menambah bahawa sebuah pasukan penyiasat sedang bekerjasama dengan Brighton & Hove Albion dan Maupay sendiri untuk meneliti kes tersebut.

"EPL akan terus memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa tempatan dan akan menyokong semua tindakan guaman bagi pihak Maupay."

Bulan lalu, EPL melancarkan satu sistem laporan yang membolehkan para pemain, pengurus, jurulatih dan anggota keluarga mereka yang didera secara online melalui kiriman mesej yang dimuat naik ke lelaman media sosial.

"EPL memandang serius terhadap isu ini dan komited dalam usahanya untuk menyokong para pemain, pengurus dan keluarga mereka yang menerima kiriman mesej seumpama itu."

Menurut ketua eksekutif EPL Richard Masters, ejekan dan kata-kata makian yang dilemparkan terhadap Maupay 'tidak boleh diterima sama sekali'.

Masters turut mendedahkan bahawa EPL memandang serius terhadap setiap aduan yang diterima dan akan menggunakan sumber-sumbernya untuk menyokong para pemain dan pengurus bagi menyiasat setiap insiden tanpa mengira di mana saja pelaku dan pesalah berada.

- CNA/AW/tq

Top