Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Impak besar pada industri bola sepak jika Piala Dunia FIFA diadakan 2 tahun sekali

 Cadangan pelaksanaan Piala Dunia lelaki dan wanita secara dwitahunan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) mampu memberi impak besar buat industri bola sepak global, menurut Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Anggaran Waktu Membaca:
Impak besar pada industri bola sepak jika Piala Dunia FIFA diadakan 2 tahun sekali

(Gambar: Kirill Kudryavtsev/AFP)

Diterbitkan : 02 Oct 2021 07:01PM Dikemas Kini : 02 Oct 2021 07:04PM

KUALA LUMPUR: Cadangan pelaksanaan Piala Dunia lelaki dan wanita secara dwitahunan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) mampu memberi impak besar buat industri bola sepak global, menurut Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Presidennya Hamidin Mohd Amin percaya pelaksanaan itu juga dapat memperluaskan lagi peluang negara anggota layak ke pertandingan bola sepak paling berprestij di dunia itu.

"Cadangan FIFA itu memberi kebaikan buat negara anggota dalam membuka peluang menjadi tuan rumah Piala Dunia selain dapat mengurangkan masa perjalanan pemain, sekali gus mampu memastikan tempoh rehat yang mencukupi bagi pemain antara musim," katanya menerusi hantaran di laman Facebook FAM pada Jumaat (1 Okt).

Hamidin berkata demikian selepas menghadiri Sidang Kemuncak ‘Future of Football’ secara maya bersama Presiden FIFA Gianni Infantino dan wakil dari lebih 211 negara anggota FIFA yang lain, malam tadi.

Beliau berkata pada dasarnya FIFA mengajak semua negara anggotanya membincangkan cadangan Piala Dunia secara dwitahunan serta reformasi terhadap Kalendar Perlawanan Antarabangsa selepas 2024 yang bakal memudahkan pemain senior atau remaja lelaki dan wanita dilepaskan kelab masing-masing untuk menyertai aksi antarabangsa dalam sidang berkenaan.

Sidang kemuncak itu diadakan sebagai sebahagian daripada proses FIFA mendapatkan maklum balas daripada semua pihak berkepentingan dalam usaha membawa dimensi baru ke dalam penjadualan bola sepak antarabangsa serta mewujudkan keseragaman untuk bola sepak lelaki dan wanita serta remaja.

Dalam persidangan itu, Ketua Pembangunan Bola Sepak Global FIFA Arsene Wenger dan Penasihat Khas Pembangunan Bola Sepak Wanita Jill Ellis, membentangkan cadangan dan analisis kajian masing-masing, termasuk pembentangan dua cadangan pertandingan belia FIFA, dengan pendekatan standard untuk kejohanan lelaki dan perempuan merangkumi pertandingan Bawah17 Tahun, Bawah 16 Tahun dan Bawah 18 Tahun diadakan secara tahunan.

Sidang kemuncak selama empat jam berkenaan turut menyediakan konsep pertandingan bola sepak wanita global dan cadangan pelaksanaan pertandingan belia yang menerima sokongan FAM.

"Sidang kemuncak ini memberi kami pemahaman yang lebih baik, telus dan tepat mengenai pendekatan FIFA - Future of Football terutama dalam pelaksanaan Piala Dunia lelaki dan wanita secara dwitahunan dalam misi meningkatkan kualiti bola sepak di seluruh dunia.

"Future of Football memiliki peranan penting dalam pembangunan dan pertumbuhan bola sepak yang mampan di segenap pelosok dunia,” tambahnya.

Sumber : Bernama/AW/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan