Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Ikhtiar Kanoute untuk masjid pertama Seville sejak 700 tahun

Selepas sebidang tanah dikenal pasti, Kanoute menggerakkan kempen memungut sumbangan bagi membina bangunan baru masjid setinggi tiga tingkat, lengkap dengan kawasan meletak kereta bawah tanah, menurut laporan Malaysiakini.

Anggaran Waktu Membaca:
Ikhtiar Kanoute untuk masjid pertama Seville sejak 700 tahun

Frederic Oumar Kanoute. (Gambar: Facebook/Frederic Oumar KANOUTE)

Diterbitkan : 26 May 2019 09:06PM Dikemas Kini : 26 May 2019 09:12PM

LONDON: Agak lama tidak kedengaran nama Frederic Kanoute - sehinggalah baru-baru ini apabila sebuah masjid yang terletak di bandar Seville berdepan masalah.

Ruang masjid itu semakin terbatas ekoran peningkatan pada jumlah penganut Islam di Seville.

Kini Kanoute, 41 tahun, secara diam-diam menghulurkan bantuan.

Selepas sebidang tanah dikenal pasti, Kanoute menggerakkan kempen memungut sumbangan bagi membina bangunan baru masjid setinggi tiga tingkat, lengkap dengan kawasan meletak kereta bawah tanah, menurut laporan Malaysiakini.

Untuk menjayakan usaha berkenaan, penyerang yang turut pernah bermain untuk Tottenham Hotspur dan West Ham United itu menyasarkan sumbangan sebanyak £250,000 (S$437,190) melalui kempen Kanoute 4 Seville Mosque.

Jika menjadi kenyataan kelak, bangunan itu akan melakar sejarah tersendiri di bandar selatan Sepanyol itu.

Kali terakhir sebuah bangunan yang memang dibina untuk dijadikan masjid di Seville adalah kira-kira 700 tahun lalu.

Rekod Seville memang mempunyai kaitan sejarah yang tebal dengan Islam. Ia adalah ibu negeri - dan bandar terbesar - untuk wilayah Andalusia.

Seville juga bandar raya keempat terbesar di Sepanyol selepas Madrid, Barcelona, dan Valencia.

Malaysiakini melaporkan, untuk menjayakan matlamat pembinaan masjid baru itu, Kanoute dibantu oleh dua warga Sepanyol, Ibrahim Hernandez dan Luqman Nieto.

Ditanya mengenai kesungguhannya itu, Kanoute berkata selama tujuh tahun bermain untuk kelab Seville itu - dan menjadikan Stadium Ramon Sanchez Pizjuan sebagai 'kampung' - membuatkan penduduk dan bandar raya berkenaan sangat dekat di hatinya.

"Sebagai seorang Muslim, apabila kamu tiba di sebuah bandar baru, perkara pertama yang kamu cari ialah tempat untuk bersembahyang," katanya yang mula mengamalkan ajaran Islam sejak berusia 22 tahun.

Bangunan itu pun satu masa dulu pernah mendapat bantuan daripada Kanoute.

Pada 2007 pemilik bangunan yang dijadikan masjid itu bercadang untuk menjualnya. Jika ia terlaksana, ini bermakna masyarakat Muslim yang bergantung kepada bangunan itu akan 'terusir' sekurang-kurangnya sehingga mereka mendapat 'masjid' baru, lapor Malaysiakini.

Kanoute lantas berikhtiar untuk menghalang bangunan tersebut terjual dan masjid mereka terlepas ke tangan orang lain. Menariknya, usaha tersebut dijalankan Kanoute secara senyap-senyap kerana dia tidak mahu mencari publisiti.

Anak pasangan wanita Perancis dan lelaki Mali itu berjaya mengumpul dana sebanyak RM2.9 juta (S$952,292) untuk memastikan bangunan tersebut kekal dijadikan masjid.

Sebagai pemain bola sepak, Kanoute pernah menjulang Piala UEFA sebanyak dua kali, selain trofi peringkat Sepanyol.

Dia juga pernah terpilih sebagai Pemain Terbaik Afrika pada 2007.

Bersama Seville, Kanoute membuat penampilan sebanyak 209 kali dan menjaringkan 89 gol. 

Sumber : Agensi berita/ZM/zm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan