Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Ibrahimovic tidak akan beraksi di Anfield pagi esok dek cedera

Zlatan Ibrahimovic akan direhatkan dalam kunjungan AC Milan ke Liverpool untuk Liga Juara-Juara Eropah gara-gara kecederaannya.

Anggaran Waktu Membaca:
Ibrahimovic tidak akan beraksi di Anfield pagi esok dek cedera

Gambar: AFP

Diterbitkan : 15 Sep 2021 06:23PM Dikemas Kini : 15 Sep 2021 06:26PM

MILAN: Zlatan Ibrahimovic akan direhatkan dalam kunjungan AC Milan ke Liverpool untuk Liga Juara-Juara Eropah gara-gara kecederaannya.

Bekas penyerang Manchester United yang berusia 39 tahun itu membantu Milan menundukkan Lazio kelmarin sebagai pemain gantian dengan menyumbangkan dua gol dalam kemenangan 2-0 itu.

Selepas berehat empat bulan akibat kecederaan lutut, pemain Sweden itu dilaporkan mengadu tidak selesa di bahagian tumit sehingga memaksanya terkeluar daripada perancangan untuk bertandang ke Anfield, awal pagi esok (16 Sep).

Ini bermakna pengurus AC Milan, Stefano Pioli, hampir pasti akan menamakan Ante Rebic atau bekas penyerang Arsenal dan Chelsea, Olivier Giroud, sebagai sandaran untuk menembusi benteng pertahanan pasukan pimpinan Jurgen Klopp itu.

Sungguhpun demikian, Pioli mengakui bahawa Giroud tidak akan mampu beraksi sepanjang 90 minit memandangkan penyerang Perancis itu baru saja pulih daripada COVID-19.

Bercakap dalam sidang media, Pioli mengatakan: "Zlatan mengalami keradangan. Dia sudah diuji pagi ini tetapi tiada guna mengambil risiko pada awal musim ini.

"Saya pada awalnya menjangkakan AC Milan akan diperkuatkan oleh Zlatan dan saya fikir dia akan kembali tidak lama lagi. Ketiadaannya adalah sebahagian daripada bola sepak; Saya perlu memilih antara Ante dan Olivier, kami mempunyai sandaran yang lain."

Ibrahimovic berpengalaman luas dalam Liga Juara-Juara Eropah dengan rekod 48 gol dalam 120 perlawanan, sembilan daripadanya ketika menyarung jersi AC Milan antara 2010 dengan 2012.

"Peningkatan kami sepanjang tahun lalu sudah pasti menarik perhatian ramai orang," kata Pioli lagi.

"Pengalaman telah membantu kami untuk berkembang dan bertambah baik. Perlawanan awal musim ini membuktikan bahawa pasukan ini tahu bagaimana cara untuk beraksi dan bagaimana untuk mendekati permainan.

"Tahapnya lebih tinggi sekarang; itu yang kami mahukan dan ini adalah peluang buat kami untuk menunjukkan bahawa kami mampu berdepan dengan pasukan-pasukan terbaik." 

Sumber : Agensi berita/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan