Images
  • silat combine
    Pesilat negara Muhammad Hazim Mohamad Yusli dan Nurul Suhaila Muhamed Saiful (kanan) (Gambar: BERITAmediacorp/Izwan Ohtman)

Hazim, Suhaila mara ke separuh akhir silat Sukan SEA

SUBIC BAY: Dua daripada tiga pesilat Singapura yang masuk gelanggang Pusat Pameran dan Konvensyen Subic Bay hari ini (3 Dis) berjaya layak ke pusingan separuh akhir.

Pendekar negara dalam Kelas B (50-55kg) Muhammad Hazim Mohamad Yusli menempah tempat di peringkat selanjutnya setelah selesa mengalahkan Bo Thammavongsa dari Laos 5-0.

Juara dunia itu bakal bertemu seteru utama Hidayat Limonu dari Indonesia esok (4 Dis).

Hazim tumpas dalam pertemuan mereka di Kejohanan Seni Mempertahankan Diri Sedunia Ogos lalu.

Pesilat negara itu berpeluang menebus maruah di medan pertarungan pra-Sukan SEA bulan lalu tapi beliau terpaksa tarik diri selepas mengalami kecederaan di kaki kanannya.

"Malam ini saya akan berehat secukupnya untuk siap berjumpa Indonesia esok di peringkat separuh akhir dan Insya-Allah saya boleh," ujar atlit berusia 17 tahun itu kepada BERITAmediacorp.

"Saya yakin yang esok saya boleh buat yang terbaik kerana saya sudah lama mahu lawan sama dia (Hidayat). Perlawanan pertama saya tadi saya dapat rasakan suasana bertarung di arena ini. Lagi banyak lagi pertarungan, lagi bertambah keyakinan saya."

Nurul Suhaila Muhamed Saiful yang bertarung dalam Kelas B (50-55kg) turut melayakkan diri selepas menumpaskan Luengaphichatkun Suda dari Thailand 5-0.

Suhaila biasanya bertanding dalam Kategori D. Bagaimanapun, srikandi Singapura itu terpaksa turun kelas kerana berat badannya dikecualikan di temasya kali ini.

"Saya rasa gembira kerana ini perlawanan pertama saya dalam Kelas B. Meskipun saya kurang lincah pada mulanya saya dapat pertingkatkan diri dalam pusingan kedua dan ketiga.

"Lawan saya dalam Kelas B lebih laju berbanding Kelas D yang lebih berat tapi lebih kuat. Oleh itu, saya berusaha bersungguh-sungguh untuk menyesuaikan diri dengan rentak perlawanan lebih pantas di Kelas B," kongsi jaguh dunia Kelas D itu.

(Gambar: BERITAmediacorp/Izwan Ohtman)

Sementara itu, kempen Sukan SEA Abdul Razaaq Abdul Rashid yang mewakili Singapura dalam Kelas D (60-65kg) pula sudahpun berakhir.

Atlit 18 tahun yang membuat penampilan sulung di temasya dwitahunan itu kecundang di tangan lawan dari Vietnam Nguyen Ngoc Toan.

ACARA SENI SELESAI 

Seorang lagi pesilat yang terlepas peluang membawa pulang pingat bagi negara adalah srikandi acara seni Nurzuhairah Mohd Yazid.

Juara bertahan kategori tunggal wanita itu tidak berhasil mengulangi kejayaan yang dicatat di Sukan SEA 2017 selepas terkandas di tempat ketujuh antara lapan pesaing pada sesi pagi tadi.

"Untuk Zuhairah, saya fikir dia sudah tampilkan yang terbaik tapi mungkin pandangan wasit yang bertugas tadi berbeza dengan apa yang kita fikirkan,"kata jurulatih skuad seni Muhammad Hamdi.

"Tapi ini bagus untuk Zuhairah kerana ia boleh jadi motivasi untuk acara berikutnya. Jadi mudah-mudahan dia tidak terlalu kecewa sangat dengan apa yang dia dapat hari ini dan mudah-mudahan dia akan dapatkan kembali dia punya kejayaan," tambahnya.

Mengulas prestasi anak didiknya secara keseluruhan, Hamdi bersyukur atas pencapaian mereka.

Skuad seni merangkul pingat emas hasil trio Hamillatu Arash Juffrie, Muhammad Nazrul Mohd Kamal dan Nujaid Hasif Zainal Abidin dalam acara regu putera manakala Muhammad Iqbal Abdul Rahman pula meraih pingat perak dalam acara tunggal lelaki.

"Pertama saya ucapkan Alhamdulillah sebab memang kita semua cuma berusaha tapi tetap Tuhan yang memberikan kita semua. Dan seperti yang saya pernah cakap, kategori ini semua berpeluang mendapat pingat. Persiapan mereka baik jadi memang mereka pantaslah untuk mendapatkannya," tambah beliau.

Pencak Silat masuk hari ketiga esok dengan para pesilat tanding akan bertarung di peringkat separuh akhir.

Acara tersebut akan berlangsung hingga 6 Disember ini. 

Ikuti liputan Mediacorp bagi Sukan SEA ke-30 dan dapatkan laporan paling meluas Team Singapore melalui empat saluran LIVE di Toggle. Lungsuri toggle.sg/seagames2019 bagi butiran lanjut.

- BERITAmediacorp/tq

Top